Sebarang Bentuk Promosi, Tindakan Perlu Ambil Kira Sensitiviti – Shaiful Hazizy
KUALA LUMPUR, 9 Jan – UMNO Negeri Kedah menyeru agar sebarang bentuk promosi dan tindakan seharusnya mengambil kira sensitiviti serta termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kesilapan teknikal perlu diminimumkan kerana ia mampu membawa polemik yang lebih besar.
“UMNO Kedah mohon kerajaan dan para menteri meminimumkan kesilapan-kesilapan kecil yang bakal membawa polemik lebih besar.
“Kesilapan teknikal ataupun apa jua alasan boleh membawa polemik besar kerana arena politik pada masa ini banyak diwarnai oleh penunggang-penunggang politik yang tidak bertanggungjawab dan ‘murahan’.
“UMNO menganggap ketiadaan montaj masjid dalam tayangan gimik Tahun Melawat Malaysia mungkin disifatkan sebagai satu kesilapan teknikal tanpa mempunyai sebarang agenda-agenda tersembunyi, namun ia haruslah dielakkan pada masa akan datang,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok turut menzahirkan rasa bimbang terhadap budaya politik tunggang dan manipulasi murahan yang mampu menghakis prioriti utama politik.
“Menteri dan pentadbiran kementerian wajar lebih sensitif kerana kesilapan yang dianggap kecil ini mampu dimanipulasi dan ditunggang oleh golongan tidak bertanggungjawab.
“UMNO Kedah menyeru agar sebarang bentuk promosi dan tindakan seharusnya mengambil kira sensitiviti tertentu berlandaskan apa yang termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan.
“UMNO Kedah bimbang budaya politik tunggang dan manipulasi murahan akan menjadi budaya ‘berkekalan’ dalam amalan politik di dalam negara ini. Budaya ini sekiranya tidak dibendung, akan terus menghakis prioriti utama iaitu politik berpaksikan polisi dan keperluan terbaik untuk rakyat serta negara,” katanya lagi. – UMNO Online