Perkukuh Parti Untuk Pastikan Kemenangan Di PRN Sabah – Samasuddin

KALABAKAN, 9 Jan – Persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan sebelum habis penggal pada penghujung tahun ini semakin rancak sebagaimana UMNO Bahagian Kalabakan memperkukuh kekuatan parti dengan semangat kebersamaan yang tinggi.

Dalam hal ini, UMNO Negeri Perak yang menjadi negeri angkat bagi UMNO Bahagian Kalabakan telah berkunjung ke bahagian terbabit baru-baru ini dengan hasrat memastikan kemenangan berpihak kepada UMNO dalam pilihan raya tersebut.

Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop, menegaskan bahawa kerjasama ini adalah langkah penting untuk memperkukuhkan kekuatan parti di setiap peringkat.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah yakin bahawa dengan kerjasama erat antara UMNO Negeri Perak dan UMNO Kalabakan, jentera parti akan lebih bersedia dan berkesan dalam menghadapi PRN Sabah.

“Insya-Allah kerjasama ini akan terus diperkukuhkan bagi memantapkan urus tadbir dan operasi kempen PRN Sabah bagi DUN yang ada di Bahagian P.191 Kalabakan,” katannya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Terdahulu, UMNO Kalabakan menerima rombongan UMNO Negeri Perak yang diketuai oleh Setiausaha Badan Perhubungannya, Datuk Mohd Aminuddin dalam sesi pertemuan yang berlangsung lancar.

Ujar Samasuddin, sesi tersebut juga diaplikasi untuk menyusun strategi yang lebih mantap dan memastikan setiap gerak kerja pilihan raya berjalan lancar.

“Sesi taklimat mengenai latar belakang maklumat pilihan raya yang melibatkan UMNO Bahagian P.191 Kalabakan telah diberikan dan kami sama-sama bertukar-tukar pandangan serta idea bagi memastikan parti terus kukuh.”

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rombongan UMNO Negeri Perak atas komitmen dan kesungguhan mereka dalam memastikan jentera parti di Kalabakan berada pada tahap terbaik.

“Kerjasama ini diharapkan akan menjadi pemangkin kepada kejayaan UMNO di PRN Sabah, sekaligus memastikan kemenangan yang diharapkan dapat direalisasikan dengan cemerlang,” katanya lagi.

Dilaporkan, tempoh pentadbiran kerajaan negeri yang ada sekarang akan berakhir pada Oktober 2025. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit