Logo VM2026 Menarik, Video Dicadang Tampil Mesej Lebih Cerminkan Identiti Negara – Aliff

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Aliff Hilmi meluahkan kepercayaan dengan pelancaran kempen terbaharu Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) yang menampilkan logo terbaik sebagai strategi menarik kedatangan pelancong asing ke negara ini.

Bagaimanapun katanya, meskipun mengetengahkan logo yang menarik namun video ditampilkan perlu mencerminkan dengan mesej dan makna di sebalik logo.

“Saya yakin dengan strategi dan usaha yang berterusan, sasaran untuk menarik seramai 35.6 juta pelancong antarabangsa serta menjana pendapatan daripada sektor pelancongan sebanyak RM147.1 bilion mampu dicapai.

“Penciptaan logo VM2026 pada pandangan saya merupakan logo yang terbaik pernah dicipta dalam sejarah kempen melawat Malaysia. Logo tersebut difahamkan melambangkan tiga elemen utama iaitu budaya Malaysia yang kaya, keindahan semula jadi, dan daya tarikan global.

“Namun begitu, amat mendukacitakan apabila mesej dan makna di sebalik logo ini langsung tidak diterjemahkan dalam klip video rasmi VM2026,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Aliff yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bendera berkata sebagai sebuah negara berdaulat, setiap kempen promosi Malaysia haruslah mencerminkan nilai dan identiti kebangsaan yang sebenar seperti termaktub pada Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang telah jelas menetapkan Islam sebagai agama rasmi dan ia bukan sekadar rujukan perundangan tetapi juga asas identiti budaya.

“Saya menyeru agar MOTAC mengambil langkah proaktif untuk memastikan kandungan kempen promosi pada masa depan lebih mencerminkan keindahan, keharmonian dan identiti sebenar Malaysia di samping mengambil kira isu-isu sensitiviti yang saban hari menekan rakyat Malaysia,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu turut sama berkongsi data rasmi tahun 2023 apabila Malaysia menerima 2.12 juta pelancong Muslim dengan jumlah pendapatan sebanyak RM5.37 bilion manakala pada 2024 jumlah pelancong Muslim yang melawat Malaysia meningkat kepada 4.5 juta pendapatan sebanyak RM14.7 bilion dibawa masuk.

Selain itu katanya Malaysia kekal sebagai destinasi mesra Muslim terbaik dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2024, mengekalkan kedudukan teratas buat kali kesembilan.

Menurut beliau, agak pelik apabila klip video rasmi tersebut yang seharusnya menjadi medium untuk memperkenalkan semua sisi keunikan Malaysia namun telah gagal menonjolkan salah satu elemen utama iaitu keunikan Islam di negara ini.

Katanya ketiadaan sebarang visual masjid atau elemen Islam dalam klip video tersebut amat mengecewakan sedangkan masjid merupakan simbol penting keindahan seni bina dan kebudayaan Islam di Malaysia ini.

“Jika alasannya tiada dalam perancangan, bagaimana pula dengan visual gereja dan kuil bersejarah yang disertakan? Adakah visual monyet makan pisang dianggap lebih penting daripada perkara ini?

“Masjid seperti Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Biru) di Shah Alam, Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Kristal di Kuala Terengganu, Masjid Negara, Masjid Al-Bukhary di Alor Setar dan banyak lagi masjid lain sering menjadi tumpuan pelancong Muslim antarabangsa selama ini. Tidakkah ini wajar diberikan perhatian?” ujar beliau. UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit