Keputusan YDPA Perlu Dijunjung, Keadilan Najib Jangan Dipersoalkan – Haryaty Hamdzah
KUALA LUMPUR, 9 Jan – Exco Wanita UMNO, Datuk Haryaty Hamdzah percaya bahawa Titah Adendum yang diberikan oleh Yang di Pertuan Aguang (YDPA) benar-benar wujud untuk membolehkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak mendapat pengampunan dan tahanan di rumah.
Menurut beliau, isu ini perlu dijelaskan dengan telus demi memastikan keadilan dapat ditegakkan dan rakyat berhak mengetahui kebenaran adendum tersebut.
“Kita ingin mengetahui sama ada adendum untuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak ini wujud atau tidak. Sebelum ini beliau didapati bersalah didalam kes SRS International Sdn Bhd (SRC) dan mempunyai hak untuk memohon pengampunan dan kuasa pengampunan diberikan oleh YDPA.
“Saya percaya pendedahan dari Istana Pahang telah memberikan kewujudan Adendum tersebut membuktikan bahawa Najib Razak sepatutnya dibela dan mendapat hak tahanan di rumah. Ia satu perkembangan yang positif bagi keluarganya dan lebih penting keadilan dapat diperolehi.
“Apa yang diputuskan oleh YDPA perlu dijunjung dan disampaikan dengan cara yang telus dan melaksanakan titah tersebut merupakan satu tugas kerajaan. Selaku rakyat beliau juga mempunyai hak untuk mendapatkan keadilan,” katanya kepada UMNO Online di sini.
Mengulas lanjut Haryaty yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka melahirkan rasa kecewa ekoran terdahulu terdapat penafian kewujudan adendum tersebut dan mencetuskan kesangsian dalam kalangan rakyat.
“Saya merasa sedikit ralat apabila adendum ini seolah-olah tidak wujud dan ia boleh menyebabkan kesangsian rakyat sedangkan hal ini mesti telus,” katanya lagi.
Terdahulu, mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anaknya, Mohamad Nizar yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum, bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya itu.
Titah Adendum itu akan membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah dan pengurusan kes ditetapkan pada 13 Januari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – UMNO Online