KEMAS Diarah Kemuka Cadangan Tambah Baik Perjawatan Kepada JPA
PUTRAJAYA, 9 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengemukakan cadangan penambahbaikan skim perjawatan kakitangan jabatan itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Berucap pada program Pemerkasaan Masyarakat Madani Kemas di Putrajaya hari ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Ketua Pengarah Kemas Mohd Hanafiah Man dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan cadangan penambahbaikan tersebut.
“Apa yang dikatakan oleh Ketua Pengarah Kemas (tadi), menjadi tanggungjawab beliau untuk memperjuangkan nasib seluruh warga Kemas.
“Insya-Allah KSU (Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar) dan saya akan bantu.
“Saya meletakkan harapan kepada Ketua Pengarah Kemas untuk memujuk Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) selaku Menteri Kewangan supaya apa yang disebutkan oleh beliau tadi (dicapai), jangan tunggu tahun depan, harus dibuktikan tahun ini juga,” katanya.
Terdahulu Mohd Hanafiah dalam ucapannya berkata ketika ini terdapat 9,719 kakitangan Kemas berstatus kontrak dengan 1,072 kakitangan berada dalam gred S1, manakala 191 kakitangan lagi di gred S2 selain 8,458 dalam gred S5.
Katanya kakitangan yang memasuki perkhidmatan tetap setelah melalui tempoh kontrak sekurang-kurangnya 15 tahun pula adalah seramai 4,587 orang.
“Untuk itu secara asasnya, penambahbaikan yang sedang diteliti ialah untuk membolehkan adanya pergerakan gred perkhidmatan kakitangan, khususnya gred S1 boleh bergerak sehingga ke gred S4, manakala S5 pula boleh bergerak hingga ke gred S8.
“Buat masa ini majoriti yang berkhidmat melebihi 30 tahun, mereka berpencen dalam gred yang sama,” katanya.
Selain penambahbaikan pergerakan gred perkhidmatan kakitangan, Mohd Hanafiah turut menyentuh soal jawatan sementara kontrak ke tetap (JSKT) yang melibatkan tempoh kontrak tidak kurang daripada 15 tahun sebelum melayakkan kakitangan menyertai perkhidmatan tetap.
“Ini menjadikan mereka yang diserap ke jawatan tetap hanya mempunyai tempoh kira-kira 20 tahun sahaja berada dalam skim perkhidmatan berpencen.
“Hasilnya, ramai yang menerima pencen di bawah RM1,000 kerana faktor tempoh perkhidmatan bertaraf tetap mereka.
“Cadangan yang sedang diperhalusi adalah agar tempoh JSKT ini dipendekkan kepada 10 tahun daripada 15 tahun. Sehubungan itu, kami amat mengharapkan sokongan Datuk Seri (Ahmad Zahid) agar usaha menambah baik skim perkhidmatan demi kesejahteraan warga Kemas dapat dicapai,” katanya. – Bernama