Ziarah Kasih Dira Di Rim, Santuni Pelajar SPM

KUALA LUMPUR, 8 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar terus menyantuni penduduk di kawasan melalui program-program berbentuk kemasyarakatan serta ziarah kasih yang dilakukan.

Sinonim dengan rutin menyantuni penduduk setempat di kawasannya, terbaharu beliau ke Taman Kelubi Damai bagi menziarahi keluarga Allahyarham Adan Kasim dan Penyelaras Wanita UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Azizah yang kehilangan adiknya.

Beliau pada kunjungan ke rumah waris berharap mereka untuk bersabar dengan ujian yang menimpa dan mendoakan agar Allahyarham ditempatkan bersama hamba yang beriman.

“Saya mendapat perkhabaran duka dua orang warga DUN saya telah kembali ke rahmatullah. Salam takziah buat keluarga Allahyarham Adan Kasim di Taman Kelubi Damai dan Pn Hjh Azizah (Penyelaras Wanita UMNO DUN Rim) yang kehilangan adiknya subuh pagi tadi.

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu pada perkongsian berbeza, Khaidhirah yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin berbesar hati hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Bekoh untuk bersama dengan para pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada pertemuan tersebut beliau turut menitipkan kata-kata semangat di samping mendoakan mereka untuk melakukan terbaik.

“Saya hadir untuk beramah mesra bersama anak-anak yang menduduki SPM di SMK Simpang Bekoh. Saya doakan yang terbaik untuk kalian semua.

“Teruslah berusaha dengan penuh semangat dan jangan pernah putus asa. Jadikan impian kalian sebagai motivasi untuk melangkah lebih jauh.

“Semoga setiap usaha kalian diberkati dan dipermudahkan. Masa depan cerah menanti kalian semua. Selamat maju jaya,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit