Titah Adendum: Keputusan Mahkamah Rayuan Peristiwa Penting, Bukti Ketelusan Undang-undang – Ruzaini
KUALA LUMPUR, 8 Jan – Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Ruzaini Rais menyifatkan keputusan dicapai Mahkamah Rayuan berkenaan Titah Addendum sebagai peristiwa penting yang telah menunjukkan keadilan dan ketelusan dalam proses undang-undang melalui keputusan yang telah ditetapkan oleh pihak mahkamah.
Menurut beliau lagi, kerajaan sudah pasti akan melaksanakan yang terbaik sesuai dengan hasil yang telah dicapai oleh mahkamah dan sekaligus memberikan hak kepada mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak sesuai perintah adendum tersebut.
“Semoga apa yang berlaku ini, dapat menjadi pemangkin dan pengikat hubungan antara semua ahli UMNO yang terus berjuang dan menyayangi parti. Semoga Allah SWT terus memberikan kekuatan kepada Ahmad Zahid dan semua pemimpin UMNO yang berjuang demi keadilan dan kebenaran,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu Ruzaini turut sama menyifatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah cerminan keberanian dan ikhlas dalam menyokong titah adendum tersebut.
Beliau berkata ini kerana Ahmad Zahid antara pemimpin awal yang tampil berani mempertaruhkan kedudukannya demi menegakkan kebenaran.
“Tindakan beliau memperakukan bahawa telah melihat Titah Adendum ini menunjukkan betapa komitednya beliau dalam memperjuangkan isu ini, meskipun berhadapan dengan pelbagai cemuhan dan kritikan daripada pelbagai pihak.
“Ahmad Zahid telah membuktikan bahawa persahabatan sejati tidak diukur melalui kata-kata, tetapi melalui tindakan.
“Walaupun banyak pihak cuba menafikan peranan Ahmad Zahid, hakikatnya beliau telah memainkan peranan penting sebagai pemimpin yang setia dan berprinsip,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ruzaini malah turut mengimbau kembali tentang usaha segelintir pihak yang mahu membubarkan parti namun Ahmad Zahid telah mengambil langkah berani yang bertentangan demi kelangsungan parti yang dicintainya.
Katanya lagi, dalam suasana politik yang penuh dengan cabaran Ahli Parlimen Bagan Datuk itu telah menunjukkan bahawa kepimpinan yang berlandaskan keimanan dan keberanian mampu mengatasi segala rintangan.
“Beliau meletakkan sepenuh keyakinan kepada Allah SWT dalam setiap tindakannya, dan hari ini, perjuangannya terbukti benar,” ujar beliau. – UMNO Online