‘Sedarlah Pas Memecah Belah Orang Melayu/Islam, Mereka Anggap UMNO Musuh’ – Zawawi

KUALA LUMPUR, 8 Jan – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman menyifatkan Pas sebagai parti yang menampakkan beridentitikan Islam tetapi bersikap umpama syaitan menghasut untuk memecah-belahkan orang Melayu Islam.

Beliau berkata ia dapat dilihat pada Isnin lalu apabila Pas bertindak seakan parti yang memperjuangkan kebebasan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Zawawi dalam pada itu turut sama mengimbas kembali tindak-tanduk Pas sebelum ini yang pernah mengkritik Najib.

“Apa yang Pas buat untuk Datuk Seri Najib bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkan pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Tiga Presiden Pas mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO dah rosak umpama itik patah kaki kerana dikaitkan dengan Datuk Seri Najib dan bersama Muhyiddin dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor ketika Datuk Seri Najib belum lagi dipenjarakan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Zawawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh turut sama berpandangan tujuan Pas meneruskan himpunan di Istana kehakiman kerana tujuan tertentu.

Menurut ini termasuk supaya Yang di-Pertuan Agong murka dan Najib tidak akan mendapat pengampunan Baginda semasa memerintah.

“Sedarlah bahawa Pas akan menghancurkan kedudukan kita yang dianggap musuh kepada Pas.

“Tujuan Pas juga mahu memecahkan gabungan Kerajaan Perpaduan dan mereka boleh menubuhkan kerajaan baru bagi membenamkan UMNO.

“Pas mahu UMNO pecah dari dalam dalam isu ini dan sokongan ahli UMNO akan beralih kepada Pas terutama penyokong Datuk Seri Najib di peringkat akar umbi,” ujar beliau.

Terdahulu, kelmarin Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum Januari tahun lalu.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.

Penghakiman majoriti itu juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anaknya, Mohamad Nizar yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum, bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya itu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit