Himpunan Solidariti: Ahli Tahu Pas Main Wayang, Tidak Ada Agenda Bela Najib – Mohd Puad
KUALA LUMPUR, 8 Jan – Tidak ramai penyokong Pas dan PPBM yang menyertai Himpunan Solidariti Najib kerana mengetahui bahawa para pemimpin mereka ‘main wayang’ dan ‘menunggang’ isu berkenaan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, sebelum ini Pas sering menggunakan isu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memburukkan UMNO/Barisan Nasional (BN).
“Kenapa tidak ramai penyokong Pas dan PPBM berhimpun di depan Istana Kehakiman? Kononnya 10,000 orang.
“Tetapi ikut laporan media 900 orang sahaja. Itu termasuk ahli UMNO yang memang setia ke mahkamah setiap kali Najib ada perbicaraan.
“Sebabnya ahli Pas tahu pemimpin mereka main wayang. Dalam Pas tidak ada agenda membela Najib. Bahkan Pas sering guna isu Najib untuk memburukkan UMNO,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Tegasnya, sebahagian besar ahli Pas tidak mengikut arahan pemimpin untuk berhimpun pada Isnin disebabkan mereka berpura-pura dalam memberikan sokongan terhadap Najib.
“Justeru, mereka tidak datang bukan kerana menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong. Kali ini mereka tidak ‘solid’ ikut arahan pemimpin Pas kerana berpura pura sokong Najib.
“Ahli UMNO pula ‘solid’ patuh arahan parti. Mereka tahu pemimpin UMNO komited membela Najib berdasarkan afidavit Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Mohd Nizar Najib. Risikonya tinggi. Tetapi mereka tidak berpura-pura. Akhirnya mahkamah putuskan ia wujud,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Pas tetap meneruskan penyertaannya dalam Himpunan Solidariti Najib di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mendakwa kehadiran ke perhimpunan itu tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, ia juga tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses serta perjalanan Lembaga Pengampunan.
Untuk rekod, lebih 3,000 penyokong Najib berkumpul di luar Istana Kehakiman bagi menyatakan solidariti terhadap bekas perdana menteri itu dalam prosiding di Mahkamah Rayuan berkait titah adendum.
Pada Isnin, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72, untuk mendapatkan kebenaran itu.
Ketika membaca keputusan terbabit, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan. – UMNO Online