Adendum Titah Diraja: Terus Teguh Bersama Kepimpinan UMNO

PERKEMBANGAN terbaru dalam arena politik dan perundangan Malaysia menyaksikan Datuk Seri Najib Razak mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Keputusan ini membuka ruang bagi semakan semula isu yang telah lama menjadi perhatian rakyat Malaysia, khususnya ahli dan penyokong UMNO.

Kes ini mendapat perhatian meluas apabila keluarga Datuk Seri Najib membawa kes tersebut ke mahkamah bersama affidavit “saksi kritikal” daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang memperakukan melihat dokumen diraja berkaitan. Tidak lama kemudian, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, turut memfailkan affidavit yang mengesahkan perkara sama.

Dalam tulisan terdahulu, saya menyifatkan tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, sebagai langkah yang berani.

Beliau mendahulukan prinsip keadilan dengan mengemukakan affidavit bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib, walaupun berpotensi menjejaskan kedudukannya dalam kerajaan. Tindakan ini mencerminkan integriti beliau sebagai seorang pemimpin yang berani mempertaruhkan kedudukan demi memastikan kebenaran ditegakkan.

Sebagai pemimpin tertinggi UMNO, Datuk Seri Zahid mengambil risiko besar dengan memberikan sokongan terbuka melalui affidavit tersebut. Beliau sedar bahawa tindakannya mungkin mencetuskan pelbagai reaksi politik, baik dari dalam mahupun luar parti. Namun, beliau tetap memilih untuk mendahulukan kebenaran, memastikan Datuk Seri Najib mendapat peluang yang adil untuk mempertimbangkan semula hukuman yang dikenakan.

Walaupun begitu, ahli UMNO perlu menerima hakikat bahawa Datuk Seri Zahid kini berdepan cabaran besar. Selain mempertahankan prinsip keadilan, beliau juga harus memastikan UMNO kekal relevan dalam Kerajaan Perpaduan demi memelihara kepentingan orang Melayu dan Islam.

Setiap keputusan yang diambil memerlukan kebijaksanaan dalam mengimbangi kepentingan parti, kerajaan, dan rakyat umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tidak berserak.

Di bawah kepimpinan beliau, UMNO sebagai sebahagian dari kerajaan terus memainkan peranan penting dalam menjaga kestabilan politik negara dan memastikan agenda Melayu-Islam dihormati. Kebijaksanaan Datuk Seri Zahid dalam mengimbangi tanggungjawab ini perlu dihargai oleh setiap ahli UMNO. Kini, lebih dari sebelumnya, ahli UMNO perlu bersatu padu dan berdiri teguh di belakang kepimpinan parti. Kekuatan mana-mana parti politik terletak pada solidariti ahlinya.

Dengan sokongan penuh kepada kepimpinan, UMNO mampu terus memperjuangkan kepentingan rakyat, khususnya bangsa Melayu dan agama Islam.

Usaha untuk mendapatkan keadilan bagi Datuk Seri Najib masih panjang. Prosiding semakan ini bukan sahaja menjadi ujian penting untuk sistem perundangan Malaysia tetapi juga untuk kekuatan solidariti dan perjuangan politik UMNO.

Datuk Seri Zahid Hamidi telah membuktikan bahawa beliau bukan sahaja seorang pemimpin strategik, tetapi juga seorang pemimpin yang tidak gentar mendahulukan prinsip. Keberaniannya mendukung Datuk Seri Najib dalam isu ini adalah manifestasi nyata kepimpinan yang bertanggungjawab dan berpandangan jauh.

Ahli UMNO harus mengambil inspirasi daripada keberanian ini dan bersama-sama kepimpinan presiden memperkukuh parti demi memastikan masa depan UMNO sebagai parti tunjang Melayu kekal kukuh dalam landskap politik negara.

Salam Perjuangan

Oleh: ๐— ๐—ข๐—›๐—— ๐—ฆ๐—›๐—จ๐—ž๐—ฅ๐—ฌ ๐—•๐—œ๐—ก ๐—ฅ๐—ข๐—ฆ๐—Ÿ๐—”๐—ก

Penulis ๐˜ข๐˜ฅ๐˜ข๐˜ญ๐˜ข๐˜ฉ ๐˜’๐˜ฆ๐˜ต๐˜ถ๐˜ข ๐˜—๐˜ฆ๐˜ฏ๐˜ฆ๐˜ณ๐˜ข๐˜ฏ๐˜จ๐˜ข๐˜ฏ ๐˜œ๐˜”๐˜•๐˜– ๐˜‰๐˜ข๐˜ฉ๐˜ข๐˜จ๐˜ช๐˜ข๐˜ฏ ๐˜š๐˜ฆ๐˜ญ๐˜ข๐˜บ๐˜ข๐˜ฏ๐˜จ. ๐˜”๐˜ข๐˜ฏ๐˜ต๐˜ข๐˜ฏ ๐˜ฑ๐˜ฆ๐˜ฏ๐˜ค๐˜ฆ๐˜ณ๐˜ข๐˜ฎ๐˜ข๐˜ฉ ๐˜ฅ๐˜ข๐˜ฏ ๐˜›๐˜ฆ๐˜ฏ๐˜ข๐˜จ๐˜ข ๐˜—๐˜ฆ๐˜ฏ๐˜จ๐˜จ๐˜ฆ๐˜ณ๐˜ข๐˜ฌ ๐˜‰๐˜ช๐˜ณ๐˜ฐ ๐˜›๐˜ข๐˜ต๐˜ข๐˜ฏ๐˜ฆ๐˜จ๐˜ข๐˜ณ๐˜ข. ๐˜ˆ๐˜ฌ๐˜ต๐˜ช๐˜ท๐˜ช๐˜ด ๐˜ด๐˜ฆ๐˜ณ๐˜ต๐˜ข ๐˜ฑ๐˜ฆ๐˜ฏ๐˜ค๐˜ฆ๐˜ณ๐˜ข๐˜ฎ๐˜ข๐˜ฉ ๐˜ฃ๐˜ฆ๐˜ฃ๐˜ข๐˜ด ๐˜ถ๐˜ฏ๐˜ต๐˜ถ๐˜ฌ ๐˜ญ๐˜ช๐˜ต๐˜ฆ๐˜ณ๐˜ข๐˜ด๐˜ช ๐˜ฑ๐˜ฐ๐˜ญ๐˜ช๐˜ต๐˜ช๐˜ฌ, ๐˜ฑ๐˜ฆ๐˜ณ๐˜ญ๐˜ฆ๐˜ฎ๐˜ฃ๐˜ข๐˜จ๐˜ข๐˜ข๐˜ฏ ๐˜ฅ๐˜ข๐˜ฏ ๐˜ฏ๐˜ข๐˜ด๐˜ช๐˜ฐ๐˜ฏ๐˜ข๐˜ญ๐˜ช๐˜ด๐˜ฎ๐˜ฆ

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit