Titah Adendum: UMNO Junjung Tinggi Kedaulatan Undang-Undang, Hormat Proses Kehakiman – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 7 Jan – UMNO terus komited dalam menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang-undang dan menghormati proses kehakiman negara, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Ini kerana katanya, beliau bersyukur atas keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memulakan prosiding kehakiman berhubung Titah Adendum.
“Alhamdulillah, sebagai ahli MKT UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Lipis, saya ingin melahirkan rasa penuh kesyukuran atas keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Datuk Seri Mohd Najib Razak memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung kesahihan Titah Addendum Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 mengenai penahanan beliau menerusi tahanan dalam rumah.
“Di kesempatan ini, UMNO Bahagian Lipis menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, yang telah memperakukan kewujudan dan kesahihan Titah Addendum bertarikh 29 Januari 2024 sewaktu Baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
“Perakuan Baginda ini menjadi bukti yang jelas bahawa perjuangan UMNO selama ini berasaskan fakta dan keadilan. Keputusan Mahkamah Rayuan ini tidak hanya memberi harapan kepada Datuk Seri Najib dan keluarganya, tetapi juga kepada seluruh ahli UMNO serta rakyat yang menghargai prinsip keadilan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis menegaskan bahawa keputusan tersebut telah membuktikan bahawa afidavit yang dikemukakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah berasas.
“Ia turut membuktikan bahawa afidavit yang dikemukakan oleh Presiden UMNO dan Menteri Besar Pahang sebelum ini adalah berasas dan bukan sekadar khabar angin.
Keputusan ini juga merupakan bukti bahawa kerajaan hari ini mengamalkan prinsip pengasingan kuasa antara badan legislatif, eksekutif, dan kehakiman, selaras dengan nilai-nilai demokrasi yang menjadi asas negara kita.
“UMNO Lipis juga ingin menegaskan komitmen kami untuk terus menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang-undang, menghormati proses kehakiman negara, serta menjamin perpaduan dan solidariti parti. Kejayaan dan kestabilan parti bergantung kepada kekuatan kita untuk bersatu dalam perjuangan, tanpa membiarkan sebarang isu memecahbelahkan kita,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli dan penyokong setia UMNO yang tidak pernah putus memberikan sokongan moral dan doa sepanjang tempoh perjuangan tersebut.
“Di samping itu, UMNO Lipis turut merafak sembah memohon ihsan dan kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Datuk Seri Najib, selaras dengan kuasa prerogatif Baginda di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua ahli UMNO dan penyokong setia yang tidak pernah putus memberikan sokongan moral dan doa sepanjang tempoh perjuangan ini. Semangat perpaduan ini adalah bukti kekuatan kita sebagai sebuah keluarga besar UMNO.
“Semoga Allah SWT terus memberkati perjuangan kita dan memberikan keadilan yang sewajarnya kepada Datuk Seri Najib Razak. Insya-Allah, dengan perpaduan dan keikhlasan, UMNO akan terus menjadi tonggak perjuangan rakyat dan negara,” katanya lagi.
Pada Isnin media melaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72, untuk mendapatkan kebenaran itu.
Ketika membaca keputusan terbabit, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan. – UMNO Online