Teruskan Gerak Kerja, Pastikan Rakyat Terus Dapat Pembelaan – Mohd Jafni
KULAI, 7 Jan – Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, menegaskan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan dan keselesaan rakyat sentiasa diutamakan melalui pelbagai inisiatif pembangunan dan bantuan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kulai telah turun padang meninjau kerja-kerja pembinaan bumbung di Gelanggang Futsal Taman Desa dan projek pembinaan tempat letak kenderaan di kawasan lapang Taman Mewah.
Jelasnya, kedua-dua projek yang menelan kos sebanyak RM696,702 ini telah disempurnakan sepenuhnya oleh Majlis Perbandaran Kulai dan mula digunakan pada Disember 2024.
“Projek ini mencerminkan usaha berterusan pihak Majlis Perbandaran Kulai dalam menyediakan infrastruktur yang lebih baik untuk kesejahteraan rakyat,” katanya kepada UMNO Online sambil merakamkan penghargaan kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai, Fahmi Salam, dan Ahli Majlis Perbandaran Kulai, Din Mohamad.
Dalam program berasingan, Mohd Jafni memaklumkan bahawa ‘Bakul Kasih Johor’ diteruskan dengan terbaharu lebih 400 bakul bantuan telah diserahkan terus kepada penerima di Kawasan Bandar Putra.
Ujarnya, program ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang bertujuan membantu golongan memerlukan, terutamanya mereka yang terkesan oleh pandemik, bencana alam, atau cabaran ekonomi.
“Setiap bakul mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, dan barangan penting lain. Selain itu, penerima turut diraikan dengan sumbangan ‘Sarap Percuma’, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima tetapi juga menyokong perniagaan tempatan di Shoutern Tiger Hub, Kulai.”
Mohd Jafni turut menegaskan bahawa program ini melibatkan kerjasama erat bersama pimpinan masyarakat setempat bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Dalam acara Hari Apresiasi Tabika Kemas Daerah Kulai, Mohd Jafni turut meraikan kejayaan anak-anak yang telah menamatkan pengajian di Tabika Kemas.
Katanya, majlis ini bertujuan mengiktiraf usaha dan pencapaian anak-anak sepanjang tempoh pembelajaran mereka.
“Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta untuk Kemas dan RM1.8 juta untuk IQFA di seluruh negeri.”
Selain itu, Mohd Jafni turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM5,000 untuk Majlis Apresiasi dan RM5,000 lagi sempena Johan Hari Potensi Kebangsaan dengan tambahan peruntukan sebanyak RM2,000 untuk setiap 13 Tabika di DUN Bukit Permai turut diumumkan bagi melaksanakan program dan aktiviti Tabika.
“Kami komited untuk terus menyokong perkembangan pendidikan awal kanak-kanak demi melahirkan generasi masa depan yang cemerlang,” ujar beliau lagi. – UMNO Online