Syukur Keputusan Mahkamah, Semoga Keadilan Diperoleh Najib – Jailani

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jailani Johari meluahkan kesyukuran atas keputusan dicapai pada Mahkamah Rayuan semalam yang membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan beliau menjalani baki penjara menerusi tahanan rumah.

Jailani malah berkata, sokongan padu UMNO kepada bekas Perdana Menteri itu akan berterusan seperti yang dilakukan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melalui afidavit yang dikemukakan.

“Alhamdulillah saya amat bersyukur atas keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (Bossku) memulakan prosiding semakan kehakiman mengenai kesahihan Titah Addendum Yang di-Pertuan Agong Ke-16 berhubung penahanan beliau melalui tahanan dalam rumah.

“Tahniah juga kepada Datuk Seri Presiden serta Datuk Seri Menteri Besar Pahang di mana terbukti afidavit yang dikemukakan berasas dan tidak bersifat khabar angin. Ini terbukti bahawa UMNO sentiasa menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang- undang.

“Semoga Allah merestui perjuangan Bossku dalam memperjuangkan kebenaran. Insya-Allah,” ujar beliau.

Terdahulu, pada semalam Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum Januari tahun lalu.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.

Penghakiman majoriti itu juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anaknya, Mohamad Nizar yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum, bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya itu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit