Pas Kekal Sikap Munafik Demi Kepentingan Politik – Jamil Khir

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan Pas sebagai tidak pernah jujur dengan lawan politik sehingga sanggup bersikap munafik dalam meraih perhatian demi kepentingan mereka.

Beliau berkata ini termasuk pada semalam dengan tindakan beberapa pemimpin Pas yang hadir ke Istana Kehakiman kononnya memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak (Bossku), namun lebih dilihat seperti menunggang isu berkenaan.

Jamil Khir turut menambah bahawa ia dibuktikan dengan pengakuan setiausaha politik kepada Menteri Besar Kedah di media sosial bahawa tindakan Pas itu sekadar wayang politik.

“Hari ini Allah serlahkan pengakuan setiausaha politik Sanusi sendiri secara sembunyi tetapi sudah viral bahawa segala sokongan buat Bossku sekadar wayang meraih laba keuntungan hasil perpecahan kumpulan dalam UMNO bahkan terhadap kerjasama Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

“Supaya senang dan mudah Pas menyelinap ke dalam rumah UMNO dan rumah Madani mencuri setiap ahli dan undi. Pas kekal dengan kemunafikan dalam persahabatan dan sentiasa bertindak menahan lukah di pergentingan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerai berkata sedangkan sebelum ini Pas dalam tindak tanduk mereka seringkali melakukan serangan politik mereka terhadap Najib menerusi siri ceramah.

“Pas selamanya tidak pernah jujur terhadap setiap mereka yang berbeza politik dengan mereka lebih-lebih lagi terhadap UMNO yang menjadi saingan rapat terhadap mereka.

“Dalam isu Bossku dahulu setiap hari baik di kuliah dan ceramah, masjid dan surau, di pentas ceramah Bossku menjadi sasaran tohmahan dan penentangan,” ujar beliau.

Terdahulu pada semalam, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki penjara menerusi tahanan rumah.

Keputusan itu dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit