Malaysia Lancar VM2026, Sasar 35.6 Juta Pelancong Antarabangsa – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 7 Jan – Malaysia telah melancarkan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) dan menyasarkan untuk menjana 35.6 juta pelancong antarabangsa dengan hasil pelancongan sebanyak RM147.1 bilion.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, VM2026 menjadi sebuah platform untuk menonjolkan komitmen negara terhadap pemuliharaan alam semula jadi dan mempromosikan keunikan budaya.
“VM2026 dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia sebagai sebuah platform yang dapat menonjolkan komitmen negara terhadap pemuliharaan alam semula jadi di samping mempromosikan keunikan budaya dan keindahan Malaysia kepada masyarakat dunia.
“Semalam, saya telah meluangkan masa untuk hadir ke pelancaran kempen VM2026 dengan pelancaran logo, mascot dan lagu tema yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB), Sepang, Malaysia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Mengulas lanjut, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama berganding bahu bagi menjayakan kempen tersebut.
“VM2026 disasarkan untuk menjana 35.6 juta pelancong antarabangsa dengan hasil pelancongan RM147.1 bilion, menjadikan sektor ini pemacu utama ekonomi negara.
“Ayuh, bersama kita jayakan kempen ini dan tunjukkan keunikan Malaysia kepada dunia,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua kementerian supaya tidak meminggirkan mana-mana negeri terutama dalam aspek pelancongan, pelaburan dan ekonomi sepanjang Kempen VM2026.
Perdana Menteri berkata, jika ia dapat dilaksanakan, unjuran pendapatan sebanyak RM147.1 bilion bakal dijana termasuk sasaran kehadiran 35.6 juta pelancong menerusi VM2026.
Beliau berkata, VM2026 adalah satu pendekatan baharu dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama, sekali gus mencatat pertumbuhan pelancongan di seluruh negara.
Untuk rekod, beruang matahari dipilih sebagai ikon dan maskot bagi Kempen VM2026.
Lebih menarik, watak Wira (beruang jantan) dan Manja (beruang betina) diperkenalkan bagi memeriahkan kempen itu.
Beruang matahari dipilih kerana ia merupakan spesis beruang terkecil di dunia dan merupakan spesies yang unik serta asli di kawasan tropika Asia Tenggara termasuk Malaysia. – UMNO Online