Kemenangan Untuk Keadilan, Titah Adendum Kini Terbukti Sahih – Norliza
KUALA LUMPUR, 7 Jan – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim menyifatkan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin merupakan kemenangan pertama kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ini kerana katanya, titah adendum dan afidavit yang dikatakan ‘hearsay’ sebelum ini akhirnya terbukti sahih.
“Alhamdulillah, kemenangan pertama buat Datuk Seri Najib hari ini dalam kes Addendum Titah Tahanan di rumah.
“Tiada lagi misteri, titah addendum kini terbukti sahih dan teka-teki akhirnya terjawab. Afidavit yang difailkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy dan Datuk Mohd Nizar Najib, menolak segala dakwaan bahawa titah tersebut hanya sekadar ‘hearsay’.
“Hari ini juga terbukti bahawa Presiden UMNO bukan sekadar pemimpin biasa. Beliau berani mempertaruhkan nasib politik demi kebenaran. Inilah sahabat sejati Datuk Seri Najib, tanpa henti berjuang menegakkan yang hak,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Pada Isnin media melaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72, untuk mendapatkan kebenaran itu.
Ketika membaca keputusan terbabit, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan. – UMNO Online