Kes Najib: UMNO Junjung Kedaulatan Undang-Undang, Teruskan Berjuang Untuk Keadilan – Mohd Rafi

KUALA LUMPUR, 6 Jan – UMNO sentiasa menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan serta menghormati proses kehakiman negara dan institusi di-Raja yang menjadi tonggak kestabilan negara.

Ujar Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata keputusan Mahkamah Rayuan dalam majoriti 2-1 telah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kewujudan Titah Adendum Diraja disambut dengan penuh kesyukuran disambut baik oleh para pendukung parti.

“Tidak ada kata-kata lain selain memanjatkan rasa syukur kepada Allah S.W.T di atas keputusan di Mahkamah Rayuan petang ini. Semoga usaha menuntut keadilan dan pembebasan Datuk Seri Najib Tun Razak terus berjalan dengan sebaiknya,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini, Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, turut menyeru kepada semua ahli UMNO agar terus bersatu hati dan tidak membiarkan sebarang isu untuk memecah belahkan kesatuan dalam parti.

Beliau juga menegaskan bahawa terdapat pihak-pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan dengan memanipulasi situasi ini untuk kepentingan sendiri.

“Jangan biarkan usaha kita diganggu oleh mereka yang cuba menangguk di air keruh. Kesatuan dan perpaduan dalam UMNO adalah kunci kepada kekuatan parti kita,” tambahnya.

Beliau berharap agar semua ahli dapat terus memberi sokongan dan memastikan perjuangan UMNO dalam menegakkan keadilan terus berjalan dengan lancar dan berlandaskan undang-undang.

Terdahulu, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72, untuk mendapatkan kebenaran itu.

Ketika membaca keputusan terbabit, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan.

Keputusan tersebut dibuat ekoran bukti kewujudan perintah Adendum itu daripada pelbagai sumber termasuk afidavit Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Seterusnya anak Najib, Datuk Mohamad Nizar telah memperoleh salinan perintah Adendum daripada pejabat Sultan Pahang pada 17 Ogos 2024. Dan mendapat perkenan Sultan untuk menggunakan Addendum dalam afidavit baginda bagi tujuan rayuan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit