Johari Sokong Usaha Cungkil Bakat Sukan Anak Muda, Mampu Bentuk Disiplin Tinggi
KUALA LUMPUR, 6 Jan – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyatakan komitmen berterusan beliau dalam menyokong usaha mengangkat bakat anak-anak muda di kawasan termasuk dalam sukan bola sepak.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoniti berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas berkongsi kehadiran pada Majlis Penyampaian Sijil Akademi Bola Sepak Tunas Lagenda Taman Maluri (ABTL).
Johari berkata akademi seperti ini amat membantu dalam mengasah bakat golongan muda yang meminati sukan ini seterusnya dapat membentuk disiplin tinggi.
“Saya berpeluang meluangkan masa bersama anak-anak dan ibu bapa Parlimen Titiwangsa dalam Majlis Penyampaian Sijil ABTL.
“Sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa, saya komited untuk terus menyokong usaha ini serta menyediakan bantuan yang diperlukan demi memastikan anak-anak kita terus berkembang melalui program-program bermanfaat seperti ini.
“Akademi ini bukan sahaja menjadi platform untuk mencungkil bakat sukan bola sepak, tetapi juga berperanan penting dalam membentuk disiplin, meningkatkan keyakinan diri, mengasah semangat kerjasama secara berpasukan,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut sama merakamkan penghargaan kepada kesemua ahli jawatankuasa ABTL Maluri dan ketua jurulatih yang juga Pengurus ABTL Maluri, Jalaludin Mad Dalip atas usaha murni menyusun program pembangunan bola sepak ini yang melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah. – UMNO Online