Pemuda UMNO Terengganu Ingatkan Jangan Menangguk Di Air Keruh Dalam Isu Najib
KUALA TERENGGANU, 5 Jan — Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera, menegaskan agar tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan atau memanipulasi isu berkaitan Datuk Seri Najib Razak untuk melaga-lagakan pemimpin UMNO.
Beliau berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah berpotensi merosakkan perpaduan dalam parti dan menggugat kestabilan politik negara.
“Kami ingin mengingatkan agar tiada pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan memainkan sentimen kononnya ada pemimpin yang lebih setia kepada Najib Razak berbanding yang lain. Jangan juga ada percubaan untuk memburukkan imej UMNO atau memutarbelitkan isu ini demi kepentingan politik peribadi,” tegasnya.
Beliau turut menyeru semua pihak untuk berhenti mengulangi kesilapan lalu dengan memfitnah atau menghina Najib Razak, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pihak berwajib dan menghormati proses undang-undang serta titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Ini bukan masa untuk berpecah, tetapi masa untuk kita bersatu atas semangat keadilan dan kesepakatan,” tambahnya.
Pemuda UMNO Terengganu yakin bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri sentiasa mendengar suara rakyat dan akan mengambil kira sensitiviti serta harapan mereka dalam menangani isu ini dengan penuh kebijaksanaan. – UMNO Online