Depani PRU-16… UMNO/BN Perlu Terus Dampingi Rakyat, Sentiasa Bersama Masyarakat – Mohamad Fadil
KUALA LUMPUR, 3 Jan – UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu menggerakkan jentera untuk mendampingi rakyat dan masyarakat bagi mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin berkata, gerak kerja awal perlu dilakukan dan momentum sokongan rakyat terhadap UMNO/BN harus dikekalkan.
“Bagi saya untuk menghadapi PRU ke-16, kita semua perlu bersiap sedia dengan jentera dan turun sehingga ke akar umbi untuk buat gerak kerja awal. Tidak kiralah sama ada kita masih lagi bersama dengan Pakatan Harapan (PH) ataupun tidak pada ketika itu.
“Hari ini kita lihat momentum UMNO cukup baik dan telah mula diterima oleh masyarakat. Kalau kita lihat di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri dan Mahkota, ia menunjukkan bahawasanya graf tersebut semakin meningkat. Sokongan rakyat terhadap UMNO semakin bertambah.
“Jadi, kalau boleh UMNO perlu menggerakkan lagi jentera-jentera untuk mendampingi masyarakat. Calon-calon bakal dipilih oleh Presiden UMNO perlulah seperti dikatakan oleh beliau iaitu muka baharu dan bukanlah calon ‘recycle’ yang pernah mengalami kekalahan pada PRU-PRU lepas,” katanya kepada UMNO Online.
Menurutnya, beliau yakin atas kebijaksanaan Presiden parti untuk menempuhi PRU ke-16 berdasarkan kemenangan UMNO/BN pada siri-siri PRK yang lalu.
“Saya yakin dengan tindakan Presiden dan Insya-Allah beliau akan melakukan yang terbaik untuk UMNO. Tanpa kebijaksanaan beliau, kemenangan yang kita telah dan bakal perolehi ini tidak akan tercapai.
“Kami mendoakan agar jiwa pemuda dalam diri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan masuk semula supaya beliau lantang dan tegas dalam membuat keputusan. Itu doa kami di barisan Pergerakan Pemuda UMNO ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berpandangan bahawa pucuk pimpinan parti perlu menyelesaikan hubungan dengan parti yang dipilih untuk bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelak.
“Untuk PRN Sabah pada pendapat saya, perlu selesaikan hubungan antara parti mana yang kita nak bersama. Ini kerana kalau tidak selesai perkara ini, kita tidak dapat nak jalankan gerak kerja dengan baik kerana tidak tahu ke mana hala tuju kita sendiri.
“Dalam UMNO ini, kita nak bersama dengan gabungan yang mana satu samada nak bersama dengan Warisan ataupun GRS? Hari ini kita masih tertanya-tanya, tidak dapat nampak hala tuju tersebut,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar parti boleh membuat keputusan tuntas dengan lebih awal agar gerak kerja dapat dijalankan selanjutnya.
“Sekiranya perkara ini telah diputuskan oleh pucuk pimpinan, maka kita boleh mulakan gerak kerja daripada awal. Jadi, hari ini kalau nak diikutkan PRN Sabah dah tidak lama, tinggal beberapa bulan saja lagi mengikut desas-desus yang kita dengar.
“Tetapi sampai hari ini kita masih lagi tidak membuat sebarang keputusan mengenai dengan siapa kita nak bersama. Jadi, kita masih ternanti-nanti dan diharap perkara ini dapat diputuskan dengan cepat oleh pucuk pimpinan,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman