KKDW Mampu Cipta Perubahan Lebih Besar, Corak Masa Depan Cerah Buat Masyarakat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 2 Jan – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berbesar hati menyampaikan amanat bagi membuka langkah 2025 bersama dengan warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan agensi-agensi yang terlibat, hari ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO itu pada hantarannya di Facebook turut sama mengimbau 2024 yang menyaksikan pelbagai kejayaan berterusan dicapai KKDW.

“Pada hari kedua tahun 2025, saya berbesar hati dapat bersama warga KKDW dan agensi-agensi yang terlibat untuk menyampaikan amanat bagi membuka langkah tahun baharu ini bersama.

“Alhamdulillah, tahun 2024 menjadi saksi kepada pelbagai pencapaian membanggakan. KKDW berjaya melahirkan usahawan celik digital melalui Program Pendigitalan Usahawan Desa, menghasilkan lebih 52,000 huffaz cilik melalui Program Pra-Tahfiz KEMAS dan mencatat kemajuan besar dengan 420 pelajar Orang Asli berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

“Kita juga berjaya melahirkan lebih daripada 808,000 modal insan berkemahiran melalui Program TVET MARA, selain mengukuhkan aktiviti perniagaan di premis MARA yang menyumbang kepada nilai jualan sebanyak RM1.77 bilion dan mencipta hampir 15,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Ahmad Zahid berharap warga KKDW dapat memperluaskan pendekatan pemikiran strategik dan cross-functional sebagai asas dalam pelaksanaan kerja.

Katanya pendekatan ini akan disokong dengan penggunaan teknologi seperti Dashboard KKDW, Bank Data dan Mapping Digital yang memastikan pelaksanaan projek menjadi lebih telus, adil dan berfokus.

“Selain itu, saya juga menekankan kepentingan kerjasama dengan badan penyelidikan bebas untuk menilai tahap kepuasan rakyat terhadap gerak kerja yang dilaksanakan. Ini penting untuk memastikan perancangan kita kekal relevan dan memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat desa.

Success is not a destination, but a journey without an end. Saya yakin KKDW mampu mencipta perubahan yang lebih besar dan mencorakkan masa depan yang lebih cerah buat masyarakat desa. Semoga usaha kita semua diberkati oleh Allah SWT dan menjadi pemangkin kepada kejayaan yang berterusan. Insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit