‘Kepimpinan Yang Baik Harus Tegakkan Keadilan, Tanpa Kira Latar Belakang Atau Kedudukan’
KUALA LUMPUR, 31 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Aliff Firdaus Abdul Hadi berkata pengampunan diraja adalah suatu proses yang melalui prosedur dan pertimbangan tertentu oleh Yang di-Pertuan Agong serta atas nasihat kerajaan.
Katanya ia adalah hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang perlu dihormati, namun timbul persoalan tentang ketidakselarasan dalam cara pengampunan tersebut diberikan.
“Sebagai contoh pengampunan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berbanding dengan kes pengampunan yang melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, mencetuskan rasa ketidakadilan di kalangan sebahagian rakyat.
“Datuk Seri Najib dilihat oleh banyak pihak tidak mendapat keadilan yang sewajarnya, terutama dalam soal ketelusan dan keberpihakan dalam proses pengampunan,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Lebih membimbangkan Aliff Firdaus yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segambut, masih tiada titik noktah mengenai titah adendum Yang di-Pertuan Agong, terus menjadi persoalan belum terjawab.
“Walaupun penglibatan lembaga pengampunan terdiri daripada pemimpin-pemimpin daripada blok kerajaan yang memegang kuasa. Ini menimbulkan keraguan tentang integriti dan keadilan dalam proses tersebut.
“Dalam sebuah negara yang menjunjung tinggi prinsip demokrasi dan keadilan, isu ini sepatutnya mendapat perhatian serius agar ia tidak menimbulkan persepsi negatif terhadap sistem pengampunan yang seharusnya objektif dan tidak berpihak,” ujar beliau.
Respon yang diberikan Aliff Firdaus itu juga rentetan daripada kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abd Halim berkenaan Datuk Dr Akmal Saleh kenyataan mengenai pengampunan yang diberikan kepada Anwar Ibrahim sebelum ini.
Beliau juga percaya bahawa untuk mencapai kemajuan dan perpaduan yang sebenar, negara memerlukan pemimpin yang berani berpegang kepada prinsip keadilan yang tulen dan bukan sekadar mempertahankan status quo politik.
Katanya lagi dialog terbuka dan jujur yang mengutamakan kepentingan rakyat dan bukan kepentingan politik semata-mata adalah kunci untuk mencapai sebuah negara yang benar-benar demokratik dan adil.
“Sebagai seorang pemimpin yang pernah memperjuangkan keadilan dan hak rakyat, saya berharap Adam Adli dapat kembali kepada prinsip-prinsip yang dahulu beliau pegang teguh.
“Tidak wajar apabila seorang pemimpin yang dahulu lantang membela keadilan kini menjadi seolah-olah terperangkap dalam politik kuasa yang mengabaikan suara rakyat.
“Kepimpinan yang baik harus menegakkan keadilan tanpa mengira latar belakang atau kedudukan seseorang,” ujar beliau. – UMNO Online