Syiar Khalwat Sebagai Kesalahan Jenayah Syariah Di Malaysia

SAYA menyokong penuh usaha Mahkamah Syariah Terengganu mengangkat syiar Islam bahawa khalwat adalah satu kesalahan jenayah Syariah yang telah menjadi sebahagian undang-undang di negeri-negeri dalam Malaysia selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam.

2. Sebatan secara terbuka menurut kaedah sebatan Syarak diputuskan oleh Mahkamah Syariah Terengganu kepada seorang pesalah khalwat berulang baru-baru ini setelah dikenakan denda untuk kesalahan khalwat kali pertama kemudian sebatan 4 kali dan denda pada kesalahan kali kedua. Apabila masih lagi melakukan kesalahan yang sama kali ketiga Mahkamah menjatuhkan pula hukum sebatan 6 kali secara terbuka sebagai satu pengajaran.

3. Sebatan terhadap pesalah khalwat adalah hukuman “takzir” ijtihad pemerintah yang diinspirasi daripada hukuman sebatan pada Hukum Hudud melibatkan jenayah zina, qazaf dan minuman memabukkan. Sebatan secara terbuka pula diinspirasi daripada hukuman terhadap pesalah zina yang belum pernah menikmati persetubuhan daripada perkahwinan yang sah.

4. Apa yang perlu ditegaskan ialah Islam berdaulat di Tanah Melayu menerusi perundangan terhadap kesalahan Syariah sebelum penubuhan Persekutuan lagi. Seawal 1937 dan 1938 lagi, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Perak memperkenalkan Enakmen (Kesalahan-Kesalahan) Orang Islam.

5. Jenayah Khalwat pula menjadi satu kesalahan undang-undang di semua negeri-negeri di Malaysia sama ada sebelum merdeka mahupun selepas merdeka.

6. Pada era 80 an diselaraskan penggunaan istilah undang-undang kesalahan syariah hasil daripada usaha memperkenalkan Enakmen Kesalahan Syariah oleh Kerajaan Persekutuan yang diikuti oleh semua negeri-negeri. Ia adalah manifestasi bahawa Islam sentiasa didaulatkan di Malaysia.

7. Adapun perbezaan pada kadar hukuman kesalahan Syariah selain daripada jenayah Hudud dan Qisas ia adalah ijtihad pemerintah yang diberikan keluasan oleh Islam sama ada didenda atau disebat menurut kaedah Syarak dan sama ada ia disebat secara tertutup atau terbuka. Malah apa sahaja hukuman yang ditetapkan oleh pemerintah menerusi enakmen kesalahan jenayah Syariah selain Hudud dan Qisas ia adalah hukuman ciptaan manusia yang bernama pemerintah yang diberikan keluasan oleh Islam.

8. Justeru, dalam membicarakan tentang kadar hukuman Syariah terhadap kesalahan Khalwat pelbagai pihak boleh memberikan pandangan kerana ia adalah ijtihad. Sebarang perbezaan pandangan tidak menjejaskan iman seseorang kerana apa yang perlu diimani ialah hakikat bahawa khalwat adalah kesalahan syariah. Adapun kadar hukuman boleh sahaja diperdebatkan namun apabila pemerintah menjadikan sesuatu kadar hukuman itu sebagai undang-undang, ia adalah undang-undang yang mengikat semua pihak.

Dr Khairuddin Takiri
Isnin, 30 Disember 2024

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit