Pendakwaan Kes Terburu-buru: Fitnah Jadi Senjata Pembunuhan Karakter – Kamil
KUALA LUMPUR, 29 Dis – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini perlu diberi perhatian oleh semua pihak berkaitan wujudnya pendakwaan mahkamah yang bermotifkan politik.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Kamil Ibrahim berkata, pendakwaan ini berlaku ketika era pemerintahan seorang pemimpin yang sering bersifat narsistik.
“Kena ingat suatu ketika dahulu Perdana Menteri sekarang ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah didakwa dan dipenjara ketika era pemerintahan Perdana Menteri keempat (Tun Mahathir Mohamad) atas tuduhan rasuah dan liwat.
“Anwar Ibrahim sehingga ke hari ini masih digelar sebegitu oleh musuh-musuh politiknya kesan daripada apa yang telah terjadi pada waktu dulu. Sama juga apa yang terjadi pada Datuk Seri Najib Razak ketika ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Raub menjelaskan apa yang boleh disimpulkan terhadap dua perkara ini adalah pembunuhan karakter dalam dunia politik.
“Secara psikologi, jika tak mampu untuk menundukkan maka bunuhlah karakter seseorang itu dengan fitnah yang dimulakan oleh seseorang yang bersifat narsisis (orang yang merasakan dirinya lebih bagus dan mempunyai ramai pentaksub dari kalangan rakan-rakan dan penyokong) bagi mengurangkan kepercayaan dan sokongan.
“Jika benar kenyataan Anwar Ibrahim mendakwa pendakwaan yang berlaku sebelum ini terburu-buru dan cacat, maka pendakwaan harus disemak semula oleh pihak mahkamah dan segala pendakwaan yang bermotifkan politik harus digugurkan dengan segera.
“Saya tetap dengan pendirian dan kenyataan yang saya pernah nyatakan sebelum ini bahawa ada tangan ghaib yang mencampuri urusan pendakwaan dihadapi oleh Najib Razak dalam mahkamah yang harus diberikan pembelaan dengan seadil-adilnya,” katanya lagi.
Tambah beliau, amat menghormati segala jasa pemimpin yang pernah membangunkan negara pada ketika dahulu.
“Sudah sampai masa untuk beliau bersara sepenuhnya dalam politik dan tidak perlu menganggu lagi segala urusan pentadbiran kerajaan hanya kerana ada agenda di belakang tabir.
“Beliau pun kena sedar beliau sendiri pun sudah hilang kepercayaan dan hilang wang deposit dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Sudah cukup untuk beliau berehat dan melayan cucu dan cicitnya,” jelas beliau.
Ujar Kamil, sebagai generasi baru dalam dunia politik, beliau ingin membawa politik yang lebih matang untuk memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.
“Kami tidak mahu masuk campur segala perbalahan orang lama dan amalan politik yang tidak sihat.
“Saya mahu lihat UMNO yang lebih segar dan matang pada masa akan datang dan jangan sesekali mengkhianati parti demi kepentingan peribadi,” ujarnya lagi. – UMNO Online