Melangkah Ke 2025: Kebersamaan Kerajaan Perpaduan Mesti Dirasai Sehingga Akar Umbi – Mohd Imran

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin beranggapan bahawa kebersamaan Kerajaan Perpaduan dalam menerajui Negeri Selangor seharusnya dirasai sehingga ke akar umbi.

Ini kerana katanya, Negeri Selangor yang ditunjangi oleh Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH) perlu mengorak langkah yang lebih tersusun untuk menjengah masuk ke tahun 2025.

“Sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, sudah pastilah harapan saya yang pertamanya adalah untuk Negeri Selangor. Saya berharap pada tahun hadapan kita dapat mengorak langkah dengan lebih terancang, tersusun dan juga berstrategi khususnya untuk memperkukuh serta bergerak seiring dalam konteks Kerajaan Perpaduan di Negeri Selangor.

“Bukan sahaja kita bergerak dalam eksekutif ataupun majlis mesyuarat kerajaan negeri yang hari ini dianggotai oleh dua orang wakil iaitu Datuk Rizam Ismail dan Datuk Wira Johan Abdul Aziz dalam Dewan Negeri Selangor (DUN)… bahkan kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan ini mestilah dilihat daripada atas sehinggalah ke bawah, termasuk juga di peringkat akar umbi.

“Ini adalah supaya kita dapat memastikan segala agenda dan juga inisiatif yang dilaksanakan di peringkat persekutuan dan juga negeri ini dapat kita harmonikan serta jayakan bersama-sama atas nama Kerajaan Perpaduan di negeri Selangor. Tahun hadapan adalah tahun kedua ataupun masuk tahun ketiga Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun 2023,” katanya kepada UMNO Online

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar turut berharap agar gerak kerja Kerajaan Perpaduan diperkukuhkan dan dimuktamadkan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

“Jadi, kita telah masuk lebih daripada separuh penggal kerajaan di peringkat kerajaan negeri. Sememangnya harapan saya, kita dapat dilihat lebih bersama-sama dalam menjayakan agenda dan juga aspirasi rakyat di Negeri Selangor.

“Secara umumnya di peringkat Persekutuan, sudah pastinya harapan saya pada tahun 2025 ini, kita dapat memperkukuhkan gerak kerja untuk memuktamadkan atau memastikan gerak kerja untuk berhadapan dengan PRU ke-16 lebih jelas serta teratur.

“Kita kena lihat kepada perkara-perkara yang lebih strategik. Bukan setakat kerjasama, bahkan juga daripada segi persefahaman dan memuktamadkan beberapa perkara penting mungkin berkenaan dengan pengagihan kerusi, kawasan serta strategi yang lebih tersusun untuk memasuki PRU ke-16,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau yakin bahawa dengan memperlihatkan momentum dan kerjasama yang berkesan, rakyat akan lebih berkeyakinan untuk terus memberikan mandat kepada Kerajaan Perpaduan bagi mentadbir negara pada PRU ke-16.

“Kita tak mahu perkara-perkara ini diputuskan ‘last minute’ ataupun di saat-saat akhir ataupun hanya diperjelaskan pada tahun pilihan raya 2027 ataupun 2028 akan datang.

“Ini perlu dilakukan supaya daripada awal lagi kita dapat memperlihatkan momentum tersebut. Oleh itu, rakyat, masyarakat dan juga pengundi dapat memahami serta berkeyakinan dengan gerak kerja Kerajaan Perpaduan.

“Ini juga termasuk tawaran yang kita boleh laksanakan bersama-sama dalam konteks Kerajaan Perpaduan. Bukan bergerak sendiri-sendiri, tetapi bekerja dalam semangat satu kerajaan yang sama,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit