Tragedi KM204: Dr Akmal Gesa Pihak Berwajib Selesaikan Masalah Lampu Di Lebuh Raya
KUALA LUMPUR, 27 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah lampu di lebuh raya.
Ini kerana katanya, terdapat banyak kemalangan dilaporkan telah berlaku disebabkan keadaan jalan di lebuh raya yang terlalu gelap termasuklah insiden berlaku di kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh pada Isnin.
“Tiga hari lalu, satu Malaysia digemparkan dengan berita kemalangan maut yang berlaku di Plaza Tol Ayer Keroh yang menyebabkan tujuh orang meninggal dan ini bukan kali pertama.
“Sebab apa? Antara faktor utama adalah keadaan lebuh raya yang sangat gelap. Tiada lampu langsung. Apabila gelap, sekiranya ada sesuatu di atas jalan raya seperti tayar, atau apa-apa di atas jalan raya ini, para pengguna jalan raya tidak boleh melihat dan mengelak.
“Pada saya, inilah yang akan menyebabkan kemalangan,” katanya menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berharap agar pihak kerajaan dan juga syarikat konsensi tol seperti PLUS untuk mengambil inisiatif bagi menyediakan fasiliti seperti lampu sepanjang lebuh raya.
“Kita nak minta kepada kerajaan Malaysia, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan juga pihak plaza tol ini… tolonglah tengokkan jalan-jalan lebuh raya yang gelap ini. Kalau jalan kampung yang tidak berbayar itu pun kita boleh letakkan lampu. Takkan tak boleh sediakan lampu jalan tempat yang gelap-gelap begini?
“Jadi, saya mohon sangat. Biarlah apa yang dah berlaku tu sudah berlaku dan kita ucapkan takziah. Tetapi kita tidak mahu lagi perkara-perkara sedemikian rupa atau yang sama berlaku lagi pada masa hadapan.
“Saya desak kerajaan Malaysia untuk tengok perkara ini. LLM dan juga pihak Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) tolong kaji semula perkara ini. Ini adalah untuk keselamatan pengguna lebuh raya PLUS. Kita bayar. Jadi, kita ada hak untuk dapatkan perkhidmatan yang terbaik,” katanya lagi.
Pada Selasa media melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengesahkan tujuh individu maut manakala 33 cedera dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 204 PLUS arah utara, Isnin malam.
Kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu melibatkan sebuah bas persiaran dengan 27 penumpang, sebuah treler sebuah dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima. – UMNO Online