Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) Bukti Komitmen Kerajaan Negeri Sembilan

SEREMBAN, 27 Dis – Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) Bina Baharu Negeri Sembilan 2024 membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan setiap rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah menikmati tempat tinggal yang selesa dan selamat.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, ini juga menjadi bukti kesungguhan kerajaan negeri dalam mendukung aspirasi rakyat serta melaksanakan pembangunan inklusif yang berlandaskan semangat ‘Negeri Sembilan Prihatin’.

“Sebagai ADUN Jeram Padang, saya amat memahami cabaran yang dihadapi oleh rakyat, terutamanya dalam aspek perumahan.

“Maka, pelaksanaan program seperti ini adalah langkah tepat untuk membantu mereka yang memerlukan dan meningkatkan taraf hidup rakyat secara keseluruhan.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada para penerima yang telah dipilih dalam program ini. Gunakanlah peluang ini dengan sebaik-baiknya untuk membina kehidupan yang lebih baik dan selesa bersama keluarga tercinta,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan yang sama, Mohd Zaidy bersyukur kerana dapat meraikan Majlis Penyerahan Surat Penerimaan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) Bina Baharu bagi Negeri Sembilan 2024 di Dewan KEMAS Jalan Pantai, di sini pada Khamis.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Haji Jalaluddin Alias atas inisiatif yang sangat signifikan ini di bawah idea Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Akhir kata, marilah kita bersama-sama menyokong usaha-usaha kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita ini,” katanya lagi.

Dilaporkan, majlis penyerahan kepada 53 orang penerima telah disempurnakan oleh Jalaluddin selaku Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan dan kerja-kerja pembinaan unit rumah akan diselaraskan oleh GIATMARA Negeri Sembilan dan FELCRA Bina Sdn Bhd. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit