Melaka Bentang Bajet 2025 Petang Ini, Fokus Inisiatif Rakyat Dan Agenda Pembangunan Mampan

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Kerajaan Negeri Melaka akan membentangkan belanjawannya bagi tahun hadapan pada jam 3 petang ini, fokus kepada inisiatif untuk rakyat dan agenda pembangunan mampan.

Perkara demikian dikongsikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di laman Facebooknya.

“Tentunya, Bajet Negeri Melaka 2025 akan memberi tumpuan kepada pemberian inisiatif kepada rakyat, di samping memfokuskan agenda pembangunan mampan,” kata Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara pagi tadi telah hadir ke Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri Melaka.

Ujarnya, sidang DUN kali ini berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, Isnin dan Selasa depan dengan 105 soalan lisan akan dikemukakan.

“Selamat bersidang kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat,” katanya.

Pada 27 Nov tahun lalu, di sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Melaka, Ab Rauf membentangkan Bajet Negeri Melaka bagi tahun ini berjumlah RM564.6 juta, bertemakan Menelurusi Warisan, Mengembalikan Kegemilangan.

Ab Rauf Yusoh berkata hasil kerajaan negeri dianggarkan berjumlah RM479.6 juta dengan anggaran Hasil Cukai berjumlah RM167.4 juta, Hasil Bukan Cukai (RM298.9 juta) dan Terimaan Bukan Hasil (RM13.3 juta).

Seterusnya, di bawah anggaran perbelanjaan pembangunan pula, Ab Rauf berkata ia membabitkan peruntukan berjumlah RM85 juta. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit