Waspada Fitnah… Akaun Facebook ‘Gema Biru’ Tidak Mewakili Pendirian Parti – Mohd Hafiz
KUALA LUMPUR, 26 Dis – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Mohd Hafiz Aziz menegaskan bahawa akaun Facebook ‘Gema Biru’ tidak mempunyai kaitan dan mewakili pendirian parti.
Ini kerana katanya, sudah beberapa kali pemilik akaun tersebut bertindak membuat hantaran yang bersifat jahat dan mengelirukan terhadap UMNO Negeri Terengganu.
“Sudah banyak kali pemilik akaun palsu ‘Gema Biru’ memuat naik hantaran bersifat jahat dan mengelirukan terhadap UMNO Terengganu.
“Saya ingin menegaskan bahawa pemilik akaun tersebut langsung tiada kaitan dan tidak mewakili pendirian parti,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa tindakan tersebut sangat tidak bertanggungjawab dan berharap agar para pelayar tidak termakan dengan fitnah dimainkan.
“Ia suatu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab. Kita mengharapkan agar semua pihak tidak termakan dengan fitnah yang dikeluarkan oleh sesetengah pihak.
“Mereka barangkali terlupa bahawa setiap perbuatan manusia dicatat disisi-Nya dan tidak akan terlepas daripada pengetahuan Allah SWT,” katanya.
Untuk rekod, akaun Facebook yang diberi nama Gema Biru itu telah membuat beberapa hantaran yang bersifat sensitif dan dilihat berselindung di sebalik logo parti.
Antara hantaran yang dimaksudkan seperti keberadaan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan, titah adendum mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beberapa isu sensitif lain.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti laman sosial UMNO/BN rasmi di peringkat pusat mahupun negeri bagi mendapatkan berita yang tepat dan sahih. – UMNO Online