Wanita UMNO Lakukan Ziarah Kasih, Zahirkan Sokongan Moral
DUNGUN, 26 Dis – Wanita UMNO bersama Skuad Sayang 3K telah menziarahi Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita UMNO Bahagian Dungun dan ahli keluarga yang memerlukan untuk menzahirkan sokongan moral serta emosi terhadap mereka.
Kunjungan tersebut telah diadakan oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad bersama Komandan Skuad Sayang 3K Kebangsaan, Hisham Suhaily, Timbalan Komandan Skuad Sayang 3K Kebangsaan (Kebajikan), Rahayu Mohd Ishak dan Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Waheedah Faruz di sini Selasa.
Lawatan ini bertujuan untuk menunjukkan keprihatinan dan komitmen pihak Skuad Sayang 3K Kebangsaan terhadap ahli-ahlinya yang sedang menghadapi cabaran kesihatan.
Antara individu yang telah diziarahi adalah AJK Wanita UMNO Bahagian Dungun, Tengku Rohana Tengku Salim yang kini sedang menghidap penyakit kanser payudara tahap empat. Beliau dikhabarkan telah menjalani pembedahan dan kini menunggu rawatan kimoterapi serta radioterapi.
Selain itu, Skuad Sayang 3K Kebangsaan juga telah menziarahi Mohd Noor Busu, suami kepada AJK Wanita UMNO Bahagian Dungun, Mariam Abdullah yang mengalami angin ahmar selepas pembedahan jantung.
Mohd Noor turut menghadapi luka pada tumit kaki yang lambat sembuh akibat saluran betis yang tersumbat.
Selain itu, Skuad Sayang 3K Kebangsaan juga telah menziarahi AJK Wanita UMNO Bahagian Dungun iaitu Zarina Ahmad Khan yang kini menderita akibat masalah jantung tersumbat. Kesan daripada itu, beliau perlu mengehadkan pergerakan dan tidak dapat terlalu aktif.
Program Ziarah Kasih ini adalah salah satu inisiatif murni Skuad Sayang 3K Kebangsaan yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan ahli-ahlinya. Turut serta dalam program ini ialah Ketua Wanita UMNO Negeri Terengganu, To’ Puan Zaitun Mat Amin, Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Dr Din Adam dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Dungun, Wan’ Ini Wan Sulong.
Skuad Sayang 3K Kebangsaan berharap sokongan, keprihatinan, dan doa daripada semua pihak dapat memberikan kekuatan kepada mereka yang sedang diuji.
Terdahulu, Noraini dilaporkan turut meluangkan masa untuk melawat ke Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di samping mengadakan perjumpaan bersama Wanita UMNO Terengganu dalam misi menyampaikan bantuan pasca banjir kepada mereka yang terkesan. – UMNO Online