Terima Kasih TPM, KKDW… Bantu Golongan Miskin Terima Rumah Percuma PPRS

LENGGENG, 26 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meluluskan rumah untuk rakyat termiskin 2024 di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).

Menurut beliau, rumah PPRS ini diberikan secara percuma kepada golongan miskin yang layak, dan ini merupakan satu inisiatif kerajaan khususnya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk membantu dan meringankan beban mereka.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah meluluskan dan telah juga saya serahkan bagi mewakili kementerian beberapa rumah rakyat termiskin di kawasan saya pada tahun 2024 di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).

“Rumah yang diberikan oleh KKDW ini adalah percuma kepada orang-orang miskin tapi yang terpilih kepada mereka yang layak. Hanya lima buah rumah yang telah diserahkan pada hari ini.

“Program rumah rakyat miskin ini terdiri dari dua konsep dan mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air untuk keselesaan penghuni tersebut,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Mengulas lanjut, Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban itu menjelaskan pemohon yang ingin memohon rumah PPRS ini mesti mendaftar melalui ‘eKasih’.

“Siapa-siapa saja yang berminat ingin memohon rumah PPRS yang di bawah KKDW, permohonan ini mestilah melalui portal ‘eKasih’.

“Pemohon mesti daftar di pejabat daerah, sebagai peserta eKasih. Setelah lulus dari eKasih maka layak mendapat rumah secara percuma dibawah PPRS,” katanya lagi.

Untuk rekod, KKDW telah memperuntukkan RM460.4 juta untuk membina 3,000 unit PPRS baharu dan membaik pulih 12,600 unit sedia ada.

Selain itu, Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) akan merancang dan membina lebih banyak lagi unit PPRS. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit