Selepas Kejayaan Di PRK, UMNO/BN Mahu Capai Lebih Kemenangan Pada 2025 – Ahmad
KUALA LUMPUR, 26 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan tahun 2024 membawa makna tersendiri kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) yang mencipta kejayaan pada dua siri Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan Mahkota.
Menurut beliau ia membawa harapan baharu kepada parti ini untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa mendatang.
“Tahun 2024 memberikan dua contoh kejayaan yang sangat manis, iaitu kemenangan PRK Nenggiri dan Mahkota.
“Saya terlibat secara langsung banyak hari dan memahami bahawa kalau kita berusaha sungguh-sungguh kawasan yang kalah boleh menang,” katanya.
Mengulas lanjut Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata usaha keras jentera parti serta gerak kerja berstrategi dirangka pemimpin memberikan impak dalam merampas kerusi Nenggiri di samping mengekalkan penguasaan di Mahkota.
Beliau turut sama berkongsi formula ‘ABCDE’ yang perlu dimanfaatkan dalam setiap gerak kerja parti aktiviti, berpadu, calon, data dan emosi.
“Kawasan yang kita menang sikit boleh jadi menang banyak. Tetapi kita kena usaha sungguh-sungguh.
“Antara formulanya iaitu aktiviti banyak, jentera berpadu, calon yang terbaik, data-data hitam putih kelabu terakhir jaga emosi rakyat dan orang dalam kawasan,” ujar beliau. – UMNO Online