Isu Pasang Bendera China Di Karnival Lampu LED: Penganjur Digesa Lebih Sensitif, Jangan Cetuskan Provokasi
BUKIT GAMBIR, 26 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir Sahrihan Jani menasihatkan kepada penganjur dalam apa-apa jua program supaya lebih sensitif dengan budaya masyarakat.
Selain itu tegasnya, setiap program yang dianjurkan tidak mencetuskan provokasi yang boleh mencetuskan kegelisahan masyarakat serta berhati-hati terutama dalam soal perpaduan dan keselamatan negara.
“Terima kasih juga kepada semua yang mengambil pendekatan matang dalam berhadapan isu ini. Terima kasih juga kepada anggota keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang profesional dalam menguatkuasakan peraturan dan undang-undang.
“Saya mengulangi semula desakan supaya tindakan tegas diambil termasuk pendakwaan kes di mahkamah terhadap penganjur dan penutupan operasi karnival dengan serta-merta. Sebarang permohonan maaf tidak cukup untuk menutup kesalahan ini,” kata Sahrihan dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sahrihan berkata demikian sebagai respon terhadap isu penganjur yang memasang bendera negara China pada replika roket di Karnival Lampu LED di perkarangan Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini.
Ulasnya, sejak awal isu ini diviralkan beliau telah berhubung dengan pihak Majlis Daerah Tangkak menyuarakan rasa kebimbangan bahawa perkara ini akan mencetuskan kegelisahan masyarakat.
“Saya menekankan bahawa satu tindakan yang proaktif termasuk membatalkan permit dan penganjuran program tersebut sekiranya benar pihak penganjur tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak Majlis Daerah Tangkak dan pihak keselamatan..
“Saya sentiasa dikemaskinikan dengan ‘progress’ siasatan serta tindakan lanjut yang bakal diambil oleh pihak berkuasa tempatan dan pihak keselamatan dalam menangani isu ini,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Sahrihan mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Pemuda UMNO Bahagian Ledang yang terkehadapan dengan membuat laporan polis dan mengeluarkan kenyataan awal berhubung isu ini.
“Ini menunjukkan bahawa UMNO sama sekali tidak akan bersekongkol dengan tindakan mana-mana pihak dalam isu maruah dan keselamatan negara.
“Saya juga mengucapkn jutaan terima kasih atas segala komen dan keprihatinan masyarakat terhadap perkara ini. Jelas bahawa kita boleh bersama dalam satu perkara yang melibatkan maruah dan keselamatan negara,” katanya.
Berkaitan perkara demikian juga, beliau difahamkan secara tidak rasmi bahawa karnival ini akan dihentikan operasinya bermula pada hari ini, Khamis, 26 Dis.
Begitu juga Sahrihan menegaskan bahawa masyarakat di Gambir sangat menjunjung tinggi kehidupan harmoni dan bersatu padu serta saling menghormati adat kebudayaan dan kepercayaan masing-masing.
“Masyarakat di Gambir juga jelas menolak sebarang usaha tersirat yang bertujuan mempromosikan sesuatu yang bertentangan dengan semangat perpaduan dan sayangkan Malaysia negara tercinta ini,” tegasnya lagi.
Untuk rekod, semalam Pemuda UMNO Bahagian Ledang diketuai Zahid Ibrahim telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Bukit Gambir, di sini terhadap isu berkenaan dan menggesa tindakan tegas diambil terhadap penganjur festival agar perkara sedemikian tidak berulang. – UMNO ONLINE