Emosi Dendam Mengatasi Prinsip Keadilan, Kedaulatan Undang-undang

MANA-MANA pihak atau pemerintah yang tidak mengikut jalur hukum yang sebenar pasti akan menerima balasan tanpa diduga.

Perkara ini dapat disaksikan oleh orang ramai bagaimana pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad kali kedua yang bertahan selama 22 bulan sahaja.

Bukan sekadar itu, ketika bertanding kali kedua di Parlimen Langkawi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Dr Mahathir telah dimalukan oleh para pengundinya sendiri apabila mengangkat calon yang langsung tidak popular, sekaligus menjatuhkan bekas Perdana Menteri dua kali itu sehingga hilang wang pertaruhan pilihanraya.

Semua ini sedikit sebanyak hasil daripada tindakan Dr Mahathir sendiri yang telah meletakkan emosi balas dendam melebihi prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang dalam negara kita.

Akhirnya kita lihat sendiri bagaimana satu persatu terbongkar tentang tindakan mengheret para pemimpin lawan ke mahkamah selepas selesai PRU-14 yang lalu adalah untuk melempiaskan nafsu serakah pemimpin (Dr Mahathir) dan menjatuhkan pemimpin lawan.

Dalam sudut pandang berbeza, tindakan tergesa-gesa yang diambil oleh Dr Mahathir terhadap beberapa figura lawan selepas PRU-14 itu adalah cerminan bahawa Dr Mahathir masih gerun dan risau dengan aura serta kebolehan yang ada pada diri lawannya (seperti Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak).

Kita harus akui, Dr Mahathir terpaksa menggunakan 1,001 cara untuk menjatuhkan Mohd Najib, sehingga akhirnya usaha itu diizinkan Tuhan.

Namun, kejatuhan kerajaan Mohd Najib tidak menjadikan Dr Mahathir bertambah kuat. Beliau sendiri sedari bahawa pengaruh dan kepandaian yang ada pada Mohd Najib mampu melemahkan sistem pemerintahan Dr Mahathir dalam julat masa yang singkat.

Justeru, sebelum Mohd Najib bangun menyerang Dr Mahathir (yang ketika itu adalah Perdana Menteri), adalah lebih baik beliau mengambil tindakan segera ke atas Mohd Najib bagi menutup mulut, menggari tangan dan memberhentikan langkah Mohd Najib.

Tindakan tergesa-gesa yang diambil oleh Dr Mahathir selaku Perdana Menteri itu adalah kerana beliau sendiri takut, risau dan cemas dengan serangan balas pemimpin lawan (pemimpin Barisan Nasional).




Sarfarizmal Md Saad
Pengarah UMNO N9 Comms

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit