Hormati Perpaduan Dibina, Jaga Imej Parti – Mohamad Fadil
KUALA LUMPUR, 25 Dis – Parti-parti yang membentuk kerajaan pada hari ini seharusnya menghormati dan sentiasa memelihara perpaduan dibina pasca-Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin berkata, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu terus berpegang kepada prinsip agar ia tidak mengganggu-gugat keharmonian kerjasama.
“Pandangan saya mengenai isu yang hangat pada ketika ini, kita seharusnya berpegang kepada prinsip untuk tidak mengkhianati perpaduan telah dibina bersama.
“Maka, mana-mana parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan ini perlu menghormati kerjasama dimeterai untuk menjaga keharmonian. Namun pada pandangan saya, sekiranya perkara tersebut benar-benar berlaku… UMNO perlu mengambil tindakan tegas.
“Ini kerana ia berdasarkan pengalaman UMNO bersama Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan dahulu… perkara seperti ini telah terjadi,” katanya kepada UMNO Online.
Tegasnya, ahli mahupun pemimpin UMNO perlulah menjaga nama baik dan melindungi parti daripada sebarang persepsi negatif terutamanya dalam usaha memulihkan semula sokongan rakyat.
“Sekiranya perkara tersebut terjadi, sudah semestinya ia akan membawa impak negatif kepada parti. Tentunya rakyat akan melihat UMNO ini dimainkan dengan persepsi negatif dan buruk.
“Justeru, saya ingin menyeru Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk mengambil tindakan tegas kepada individu-individu yang gagal menjaga nama baik parti ini.
“Kita semua perlu bekerja dalam satu pasukan untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO. Apabila kepentingan diri didahului, akhirnya nanti imej parti akan tercalar,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman