RKJ Dipertingkat Ke 165 Unit, Bantu Golongan Miskin Tegar Di Johor – Mohd Jafni
KUALA LUMPUR, 24 Dis – Rumah Kasih Johor (RKJ) telah dipertingkatkan jumlah ke 165 unit pada tahun ini untuk membantu golongan miskin tegar di negeri tersebut, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kulai menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa pencapaian tahun pertama pelaksanaan RKJ pada tahun 2023 telah berjaya membantu 50 keluarga memperoleh rumah secara percuma.
“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan RKJ bagi Daerah Kulai,Muar,Johor Bahru, Kota Tinggi, Segamat,Batu Pahat dan Kluang.
“Untuk makluman semua, pencapaian tahun pertama pelaksanaan RKJ (tahun 2023), pihak Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) melalui kontraktor utama RKJ, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) E&C telah berjaya membina 50 unit di sepuluh daerah dengan lima unit di setiap daerah diperuntukkan.
“Penyerahan kunci kepada penerima-penerima RKJ telah dilaksanakan pada bulan Ramadan (April 2024) yang lalu dengan kerjasama dan penglibatan Pejabat Daerah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan KPRJ melalui Program Jelajah Kasih Ramadan PKPJ. Alhamdulillah kita dapat membantu 50 keluarga golongan miskin dan miskin tegar memiliki rumah secara percuma di hari yang mulia,” katanya.
Menurutnya, untuk menjayakan rancangan RKJ, ADUN diberi tanggungjawab bagi mencadangkan nama peserta RKJ dari setiap kawasan dan perlu mengikut syarat asas.
“Dalam Ucapan Belanjawan tahun 2024 oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, peruntukan RKJ telah dipertingkatkan kepada 120 unit. Manakala dalam ucapan belanjawan 2025, atas keprihatinan tinggi Kerajaan Negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempertingkatkan peruntukkan RKJ kepada 165 unit.
“Selain itu, ADUN diberi tanggungjawab mencadangkan nama sebagai peserta RKJ dari setiap kawasan dan harus mengikut syarat asas iaitu perlu berdaftar sebagai E-Kasih (golongan miskin / miskin tegar),” katanya.
Mohd Jafni yang juga ADUN Bukit Permai turut memaklumkan bahawa beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan untuk RKJ bermula dari tahun 2024.
“Selain itu, beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan bagi pelaksanaan Pembangunan Rumah Kasih bermula tahun 2024. Antaranya, kelonggaran kepada syarat pemilikan tanah cadangan RKJ. Calon boleh menggunakan tanah milik ibu, bapa, keluarga terdekat sebagai tapak RKJ dengan syarat mendapat kebenaran bertulis pemilik tanah.
“Kepelbagaian jenis rumah mengikut kesesuaian dengan isi rumah pemohon RKJ iaitu rumah jenis tiga bilik dengan harga RM88,000, dua bilik (RM83,000) dan satu bilik (RM78,000) termasuk kos ekstreme.
“Mewujudkan Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pemilihan RKJ yang berperanan sebagai semak dan imbang (check and balance) terhadap pemilihan peserta serta perjalanan RKJ secara keseluruhan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau juga memaklumkan bahawa seramai 105 calon dari sepuluh daerah telah diperakukan oleh Jawatankuasa Pemilihan RKJ namun masih terdapat baki ditangguhkan untuk semakan kelayakan.
“Adalah dimaklumkan, berdasarkan dua sesi Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan RKJ Tahun 2024 pada 8 Ogos dan 8 September 2024, seramai 71 calon dari sepuluh daerah telah diperakukan.
“Dalam mesyuarat pada Rabu, saya meluluskan dan memperakukan 44 lagi nama yang telah dicadangkan oleh ADUN dari lapan Daerah. Terdapat baki yang ditangguhkan untuk semakan semula kelayakan oleh Pejabat ADUN dan Daerah. Hal ini adalah untuk memastikan penerima adalah benar-benar layak.
“Saya ingin mengucapkan ucapan terima kasih kepada pihak ADUN-ADUN, Pentadbiran Daerah, Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor dan pihak KPRJ yang telah secara bersama bekerja untuk memastikan calon benar-benar layak ditawarkan RKJ,” katanya lagi. – UMNO Online