Rakyat Diseru Utamakan Keselamatan Di Jalan Raya, Elak Nahas Tidak Diingini
KUALA LUMPUR, 24 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat mengutamakan keselamatan ketika menggunakan raya bagi mengelakkan nahas yang tidak diingini.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, terlalu banyak kemalangan jalan raya telah berlaku pada tahun ini melibatkan lebih 6,000 kematian.
“Sudah menjadi adat dan kebiasaan di Malaysia, apabila tiba sahaja musim cuti perayaan, ramai di antara kita akan mengambil peluang untuk bercuti bersama keluarga tercinta.
“Ada yang pulang ke kampung, ada yang membawa anak-anak jalan dan ada juga yang keluar melancong. Namun, saya berpesan kepada diri saya juga buat seluruh rakyat Malaysia – dalam keterujaan, keselamatan mestilah sentiasa diutamakan.
“Kadang kita tidak menyangka kegembiraan yang dihasrat, bertukar menjadi tragedi yang tidak boleh dilupakan. Terlalu banyak kemalangan terjadi dan tahun ini sahaja lebih 6,000 kematian yang berlaku akibat nahas jalan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Ujarnya, telah berlaku insiden menyayat hati pada Isnin dan Ahmad Zahid turut merakamkan ucapan takziah di samping berharap rakyat sentiasa merancang perjalanan dengan teliti.
“Semalam pun pasti kita terbaca insiden menyayat hati yang berlaku di Kilometer 204.0 Lebuh Raya Utara-Selatan. Takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada mereka untuk menghadapi ujian yang sangat berat ini.
“Rancang perjalanan anda dengan teliti, patuhi undang-undang jalan raya dan sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling. Jika merasa letih, berehatlah seketika sebelum meneruskan perjalanan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan orang ramai untuk berdisiplin dan bertanggungjawab semasa berada di jalan raya.
“Berdisiplin dan bertanggungjawablah semasa berada di jalan raya. Semoga setiap langkah berhati-hati yang kita ambil dapat memastikan perjalanan bukan hanya untuk diri kita tetapi selamat untuk semua.
“Selamat bercuti, pandu cermat dan pulanglah dengan selamat ke pangkuan keluarga tersayang. Saya mendoakan agar setiap perjalanan anda dilindungi dan dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya lagi. – UMNO Online