UMNO/BN Pemangkin Kestabilan Politik, Kemakmuran Ekonomi Negara – Aminuddin

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Keberadaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan memainkan peranan besar dalam memastikan kestabilan politik dan memberi impak positif pada ekonomi negara, kata Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Aminuddin Omar.

Menurut beliau, pengalaman luas yang dimiliki UMNO/BN selama bertahun-tahun dalam mentadbir negara memberi impak besar dalam merancang, melaksanakan dasar serta mengukuhkan kestabilan politik.

“Kestabilan politik paling penting dan parti-parti yang ada dalam kerajaan memahami peranan masing-masing. Mereka tahu bagaimana hendak bertindak, melakukan gerak kerja dan memastikan ekonomi negara dapat dirancakkan. Pada masa yang sama ketegangan antara kaum dapat dielakkan dan masyarakat memahami tujuan penubuhan kerajaan ini.

“Bangsa Melayu, Cina, India dan ratusan etnik terus mengekalkan aspirasi perpaduan yang dibentuk dengan cukup baik. Mereka ‘tolerance’ serta ‘accept’ menerima seadanya kepelbagaian penduduk yang ada.

“Menteri-menteri dari UMNO/BN telah menunjukkan ‘performance’ yang sangat cemerlang, mereka berperanan aktif dalam memastikan kebajikan rakyat dan pembangunan negara diberi keutamaan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Mengulas lanjut, kata Aminuddin, kerjasama antara parti-parti politik dalam Kerajaan Perpaduan sebagai tonggak utama untuk menjayakan agenda nasional.

“UMNO/BN tidak hanya menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, tetapi turut memainkan peranan penting dalam menentukan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat. Parti ini komited untuk memastikan perpaduan kekal utuh dan menjadi pemacu kepada kemajuan negara.

“UMNO/BN mengambil langkah proaktif untuk menyumbang pandangan dan idea konstruktif kepada Kerajaan Perpaduan, termasuk dalam sektor ekonomi, pendidikan, dan reformasi pentadbiran dan pada masa yang sama memastikan suara rakyat didengar,” katanya lagi.

 

Tambah beliau, sebagai parti yang berakar umbi, UMNO/BN juga meneruskan usaha memperkukuh hubungan dengan masyarakat di peringkat akar umbi.

“Komitmen yang diberikan oleh UMNO/BN dalam Kerajaan Perpaduan sebagai usaha yang selari dengan visi Malaysia Madani, iaitu membina negara maju yang harmoni, inklusif, dan berdaya saing di peringkat global,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit