Pendakwaan Tergesa-Gesa Berunsurkan Politik Dendam: Sistem Keadilan Perlu Diperbetulkan Dan Diselamatkan
KOTA KINABALU, 23 Dis – Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu wawancara baru-baru ini telah membuka mata seluruh rakyat di negara ini, kata Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah Sufian Abdul Karim.
Menurutnya, rakyat mula melihat sistem keadilan di negara ini tidak lagi bertindak adil dan lurus seperti lurusnya sebilah pedang.
Menyentuh isu pendakwaan yang bersifat tergesa-gesa seperti yang diutarakan oleh Perdana Menteri, Sufian berkata Pemuda UMNO Negeri Sabah mendesak agar sistem keadilan di negara ini perlu diselamatkan.
“Pihak pendakwaan perlu segera menarik balik segala kes yang didakwa semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0 yang diterajui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan parti PPBM. Pendakwaan-pendakwaan ini jelas berlandaskan agenda politik, bukan prinsip keadilan.
“Pendakwaan tergesa-gesa tersebut dibuat dengan niat politik yang bersifat dendam dan bertujuan membunuh karakter individu tertentu serta parti-parti politik yang menjadi lawan mereka. Tindakan ini telah mencemarkan sistem keadilan negara,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Tambah Sufian lagi, siri pendakwaan ini telah membazirkan sumber kerajaan, termasuk masa, kewangan, dan tenaga kerja, hanya demi memenuhi misi politik yang berniat jahat.
“Mangsa-mangsa pendakwaan ini telah dianiaya secara sistematik. Mereka terpaksa menghadapi proses mahkamah yang panjang, menanggung kos guaman yang besar, serta menanggung malu dan tekanan masyarakat.
“Ini adalah bentuk penindasan yang sangat kejam dan tidak wajar berlaku dalam sebuah negara demokrasi yang menjunjung rukun kepercayaan kepada tuhan,” kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kudat itu.
Jelasnya lagi, dengan penarikan balik pendakwaan-pendakwaan ini, Malaysia dapat memperbaiki imej keadilannya di peringkat antarabangsa.
“Langkah ini akan menunjukkan komitmen kerajaan terhadap prinsip keadilan yang sebenar tanpa dipengaruhi oleh permainan politik sempit,” tegasnya.
Justeru katanya, Pemuda UMNO negeri menyeru agar langkah pembetulan ini dilaksanakan segera demi memastikan sistem keadilan negara tidak lagi dicemari oleh kepentingan politik yang sempit dan kejam. – UMNO ONLINE