Pelantikan TYT Sabah: Jangan Buat Dakwaan Tanpa Lihat Fakta – Rahman Dahlan

ADA beberapa pihak yang mempertikai Tun Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman (TMA) menjadi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah kerana kononnya sebelum ini beliau terlibat dengan kes rasuah.

Ini satu tuduhan yang agak berat dan serius kerana secara tidak langsung mereka mempertikaikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang telah melantik TMA sebagai TYT yang baharu.

Sebelum saya mengulas lebih lanjut, terlebih dahulu biar saya menegaskan tiga perkara untuk memberi konteks kepada ulasan saya ini.

Pertama, hak setiap rakyat Malaysia untuk memberi pandangan adalah dilindungi oleh undang-undang negara selagi ia tidak mengandungi unsur-unsur fitnah, tidak melanggar undang-undang dan tidak menghasut terutamanya terhadap institusi YDPA.

Kedua, kita mengalu-alukan apa jua usaha untuk membanteras kegiatan rasuah dan salah guna kuasa demi masa depan negara kita.

Ketiga, idealisme untuk menjuarai isu-isu yang melibatkan kepentingan awam perlu diberi dokongan agar ia boleh menjadi pemangkin kepada kesejahteraan rakyat Malaysia.

Persoalan yang timbul sekarang ialah kepada siapa kita perlu rujuk untuk menilai sama ada tuduhan yang berat ini betul atau tidak?

Sudah tentu rujukan utama kita ialah kepada keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara.

Ketiga-tiga entiti ini telah melepaskan TMA daripada tuduhan rasuah. Untuk makluman, YDPA, Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah sekarang ini langsung tidak terlibat dalam keputusan pembebasan TMA pada Jun 2020. Ketiga-tiga mereka belum pun memegang jawatan mereka pada waktu itu.

Saya yakin pembebasan TMA oleh ketiga-tiga entiti ini telah menjadi asas utama kepada proses ‘vetting’ atau tapisan ketat yang telah dilakukan oleh pihak Istana Negara sebelum mengumumkan perlantikan TMA sebagai TYT.

Asas lain yang diambil kira sudah tentu khidmat TMA sebagai Ketua Menteri Sabah dan pencapaian pembangunan negeri Sabah yang memberangsangkan semasa pentadbiran beliau.

Jika ada pihak mempertikai perlantikan TMA kerana kononnya ada tangan-tangan ghaib yang mempengaruhi keputusan mahkamah, SPRM dan Peguam Negara, saya ingin cadangkan mereka merujuk kepada keputusan yang telah dibuat oleh Independent Commission Against Corruption (ICAC), Hong Kong kerana sebelum ini, ada seorang ahli Parlimen pembangkang (pada waktu itu), telah membuat aduan rasuah yang sama terhadap TMA kepada ICAC.

ICAC adalah antara agensi anti rasuah yang paling dihormati dan disegani di persada antarabangsa.
Menurut Transperancy International (sebuah badan bebas antarabangsa yang berfungsi untuk memantau dan membanteras rasuah di seluruh dunia), reputasi dan profesionalisme kerja ICAC telah menjadi piawaian emas atau ‘Gold Standard’ kepada agensi pembenteras rasuah di seluruh dunia.

Tiada siapa yang berani menuduh ICAC dipengaruhi oleh tangan-tangan ghaib kerana ICAC mempunyai kredibiliti yang sukar untuk dipertikai.

Untuk makluman, ICAC telah membuat siasatan yang terperinci (termasuk kerja-kerja siasatan dalam Malaysia) terhadap tuduhan ahli pembangkang itu dan akhirnya ICAC mendapati tidak ada kes yang boleh dituduh terhadap TMA.

Itulah faktanya. – UMNO ONLINE

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia
Timbalan Ketua UMNO Sabah
Ketua UMNO Sabah Bahagian Tuaran

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit