Mohamad Hasan Yakin UMNO/BN Akan Terus Bangkit
SEREMBAN, 23 Dis – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yakin bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) akan terus bangkit dan dapat menghadapi cabaran mendatang.
Beliau yang juga Menteri Luar berkata demikian selaku Pengerusi Penyelaras BN Negeri Sembilan dalam ucapan sempena Konvensyen BN negeri terbabit, Ahad petang.
Katanya, dalam politik parti mesti beranjal kerana politik dinamik dan UMNO/BN mesti ikut peredaran masa.
“Tak bermakna kita tidak boleh bangkit semula tapi kita perlu pandang ke depan dan lakukan apa yang kita patut buat. Peranan BN khususnya UMNO di Negeri Sembilan amat besar.
“Kita perlu perkasakan parti kita dulu, kuatkan parti kita, mantap dan kita akan dapat meredah ombak untuk mendepani cabaran termasuk pilihan raya nanti.
“Kita perlu bina kekuatan dalaman, lihat sejarah parti kita dan bagaimana kita menjadi kuat sebagaimana dahulu iaitu ketenangan dan ketenteraman dalaman parti yang penting. Binalah persefahaman dalam parti kerana kalau ini boleh dilakukan maka kita akan dapat bina kesepakatan dan persefahaman yang besar.”
Ujar beliau, apabila UMNO/BN kuat maka akan ramai pihak akan datang kembali dan memberikan sokongan.
“Tidak ada sesiapa yang akan menyokong parti yang lemah, maka kita perlu perkuatkan parti kita dari dalam biar tenang dan tenteram serta kembali disokong oleh rakyat,” katanya lagi.
Konvensyen yang bertemakan ‘Melayari Bahtera Perjuangan, Menakhoda Negara Bangsa’ ini dirasmikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut berucap sebelum itu ialah Pengerusi MIC Negeri Sembilan, P. Supramanium diikuti oleh Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Leaw Kok Chan dan juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Turut hadir Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi selain kepimpinan UMNO/BN Negeri Sembilan. – UMNO Online