Masalah Air Di Labuan, UMNO Labuan Terus Perjuangkan – Mohd Rafi
KUALA LUMPUR, 23 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata walaupun UMNO tidak beroleh kejayaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas di Parlimen Labuan, UMNO terus menjadi suara rakyat di kawasan itu yang memerlukan pembelaan.
Menurut Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, parti yang berada dalam sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan mengambil peluang untuk membantu menyelesaikan masalah yang rakyat hadapi.
Pagi semalam, Mohd Rafi dijemput untuk menyerahkan bantuan tangki biru fasa kedua di Kampung Sg Labu dan Sg Lada, Wilayah Persekutuan Labuan hasil sumbangan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Kerajaan Perpaduan.
Bantuan tersebut ujarnya lagi, telah disuarakan oleh pihak UMNO Labuan ketika lawatan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada bulan Mac lalu.
“Saya amat berterima kasih dan terharu di atas keprihatinan kerajaan terhadap permasalahan rakyat Labuan yang sering menghadapi masalah ketiadaan air sejak beberapa tahun yang lepas.
“Walaupun bantuan tangki biru ini hanya boleh menyelesaikan masalah jangka pendek tetapi rakyat Labuan amat bersyukur dengan bantuan ini.
“Rata-rata yang saya bertemu pagi tadi (Ahad) mengucapkan terima kasih dan bersyukur dapat bantuan tangki biru ini kerana sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi bila ketiadaan air untuk tempoh dua atau tiga hari,” kata Mohd Rafi dalam satu perkongsian di laman Facebook.
Seterusnya, Mohd Rafi juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terutama sekali pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Perbadanan Labuan, Jabatan Bekalan Air Labuan serta pemimpin masyarakat kampung yang sentiasa berusaha dan mempercepatkan urusan bantuan 1,000 tangki biru ini.
Untuk rekod tambahnya, ini adalah bantuan 1,000 tangki untuk kali kedua di mana pada tahun 2023 pihak UMNO Labuan telah berusaha dan mengagihkan 1,000 tangki biru pada tahun lepas. – UMNO ONLINE