20th World Pencak Silat Abu Dhabi: Ahmad Zahid Rakam Ucapan Tahniah Kepada Pasukan Negara

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan negara yang telah berjaya mencipta kemenangan di 20th World Pencak Silat Abu Dhabi pada Ahad.

Beliau yang juga Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebook dan akaun X turut menzahirkan keterujaan dengan kemenangan Thamaraj A/L Vasudevan yang berjaya mengungguli kategori bebas putera.

“Saya amat teruja melihat kemenangan Thamaraj, pesilat dari Malaysia yang telah mencipta sejarah dengan menjuarai Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 kategori bebas putera di Abu Dhabi, UAE.

“Dalam pertarungan akhir kategori bebas putera, Thamaraj telah mempersembahkan aksi hebat dengan menewaskan wakil Uzbekistan, Khudoyberdiev Diyorbek sekali gus membawa pulang pingat emas yang amat bermakna untuk negara.

“Selain kemenangan Thamaraj, pasukan silat Malaysia yang lain juga turut mencatatkan pencapaian yang membanggakan apabila pasukan senior berjaya meraih enam pingat emas, sembilan perak, empat gangsa, manakala pasukan remaja turut cemerlang dengan membawa pulang lima emas, empat perak dan empat gangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar kejayaan tersebut menjadi permulaan kepada kemenangan yang mengharumkan nama Malaysia pada masa akan datang.

“Antara wira dan wirawati pesilat dewasa dan pesilat remaja yang menyumbang emas termasuk Farah Mazlan, Siti Shazwana, Abdul Latif, Tamarah, Ainatsya, Eafzayl Adriell, Raqib Darwisy, Muhammad Syaqil dan Ukail Darwis. Tahniah, tahniah!

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) yang bersama memberikan sokongan moral dan semangat kepada pasukan silat negara.

“Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh pasukan silat negara atas dedikasi dan pencapaian hebat ini. Semoga kejayaan ini menjadi permulaan kepada lebih banyak kemenangan yang mengharumkan nama Malaysia di masa akan datang, insya-Allah,” katanya.

Pada Jumaat media melaporkan Kejohanan Pencak Silat Dunia edisi ke-20 dan Kejohanan Pencak Silat Dunia Remaja ke-5, bermula pada Rabu di Pusat Pameran Nasional Abu Dhabi (ADNEC).

Kejohanan itu telah berlangsung sehingga 22 Disember, menarik lebih 1,200 peserta dari 55 negara.

Kejohanan Dunia dianjurkan oleh Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa dengan kerjasama Pihak Berkuasa Am untuk Sukan dan Majlis Sukan Abu Dhabi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit