Wan Rosdy Harap MIHF Mampu Buka Peluang Pahang Promosi Industri Halal

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap agar Melaka International Halal Festival (MIHF) 2024 dapat membuka peluang kepada negeri tersebut untuk mempromosikan Industri halal.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang yang telah menyertai MIHF 2024 pada 20 hingga 22 Disember.

“Syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana menyertai MIHF 2024 yang berlangsung di MITC Air Keroh, bermula 20 hingga 22 Disember 2024.

“Terima kasih EXCO Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam, serta semua peserta dari Pahang yang menyertai festival bermakna ini.

“Penyertaan ini merupakan kesinambungan promosi inisiatif pembangunan industri halal Pahang selepas kejayaan lawatan kerja di Shanghai, China dan MIHAS Dubai,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan bahawa Pahang telah membawa dua segmen di MIHF 2024 iaitu perindustrian dan keusahawanan.

“Pahang bawa dua segmen di MIHF 2024. Pertama, segmen peluang pelaburan dalam sektor pembuatan dan taman industri dengan mempromosikan kawasan-kawasan strategik sepanjang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dalam pelan pembangunan industri halal Pahang.

“Kuantan Port Consortium bersama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang terlibat dalam segmen ini.

“Segmen kedua pula ialah promosi industri dan usahawan sedia ada yang telah berjaya menjalankan perniagaan di Pahang dalam pelbagai sektor dengan menampilkan anak-anak syarikat kerajaan negeri, pelabur-pelabur sedia ada serta golongan usahawan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menjemput orang ramai untuk berkunjung ke reruai Pahang di MIHF 2024.

“Di kesempatan ini saya menjemput orang ramai untuk berkunjung ke pavilion dan reruai Pahang yang menyajikan pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Semoga MIHF 2024 ini membuka banyak peluang kepada Pahang dalam mempromosi industri halal yang semakin mendapat perhatian pelabur-pelabur tempatan dan antarabangsa,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit