Kesepakatan Dan Semangat Yang Kuat Penting Untuk Perjuangan UMNO/BN

SEREMBAN, 22 Dis – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kesepakatan dan semangat yang kuat amat penting dalam meneruskan perjuangan parti.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO berkata kesepakatan ini memerlukan semua pihak memahami peranan masing-masing.

“Kesepakatan memerlukan semangat yang kuat dan semua ada peranan masing-masing.

“Kita mesti berperanan dan melakukan tugas yang ada agar kemenangan akan kembali berpihak kepada kita,” katanya semasa ucaptama merasmikan Konvensyen BN Negeri Sembilan yang berlangsung hari ini, di sini.

Dalam hal ini beliau mengambil analogi permainan bola sepak yang menentukan setiap pemain mempunyai posisi dan tugas masing-masing.

“Persepakatan sebagai pasukan bola sepak itu penting untuk diaplikasi dalam arena politik. Kita mempunyai tugas dan peranan tapi perlu ingat agar tidak menjaringkan gol ke gawang sendiri,” katanya.

Jelas beliau, walaupun BN hanya ada empat parti teras iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS tetapi peranan yang dimainkan oleh Friends of BN yang sentiasa setia bersama amat dihargai.

“Dengan angka 30 kerusi kita perlu bina semula BN agar kembali kuat dan dapat memenangi pilihan raya. Asalkan tak bersikap seolah-olah kita sebagai parti dominan kerana kita hari ini hanya sebahagian dalam Kerajaan Perpaduan.

“BN ada tujuh orang menteri kabinet dalam kerajaan yang memainkan peranannya. Cuba bayangkan jika kita bukan dalam Kerajaan Perpaduan dan kita jadi pembangkang… maka hari ini kita perlu lihat dari sudut yang lebih positif.

“Kekuatan UMNO/BN tidak boleh diletakkan kepada sokongan untuk undi daripada ahli-ahli parti sahaja kerana kita wajib menyantuni semua masyarakat di akar umbi. Kita perlu pastikan kesepakatan dalam semua untuk dapatkan sokongan secara terus daripada rakyat demi kemenangan di kerusi DUN/Parlimen.”

Ahmad Zahid juga mengingatkan kepimpinan parti agar tidak bersikap takbur dan sombong.

“Jangan takbur, ujub dan sombong. Kita berada dalam kerajaan hari ini bersama dengan Kerajaan Perpaduan. Namun, saya yakin kelak rakyat akan kembali memberikan sokongan kepada UMNO/BN.

“Kita pastikan perkukuhkan Kerajaan Perpaduan agar rakyat keseluruhannya dapat nikmat kestabilan melalui politik yang kita sokong. Sedaya yang mungkin kita akan bantu semua permasalahan rakyat.”

Turut menyampaikan ucapan ialah Pengerusi Penyelaras BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Terdahulu Pengerusi MIC Negeri Sembilan, P. Supramanium telah berucap diikuti oleh Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Leaw Kok Chan dan juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Konvensyen yang bertemakan ‘Melayari Bahtera Perjuangan, Menakhoda Negara Bangsa’ ini juga dihadiri oleh Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit