Keberadaan UMNO Sebagai ‘Rakan Strategik, Tegas Perjuangkan Agenda Melayu/Islam

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Kerjasama UMNO dan Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan kini dilihat sebagai langkah yang mampu memperkukuhkan kedudukan parti dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Aliff Firdaus Abdul Hadi berkata, peranan UMNO dilihat sebagai rakan strategi yang bergerak dalam satu payung lebih besar.

“Keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah ‘rakan strategi’ dan ini adalah ‘political move’ sebagai dalam satu payung yang besar. UMNO harus perkasakan agenda iaitu memartabatkan bangsa Melayu dan Bumiputera serta sama-sama memahami pelaksanaan dasar kerajaan.

“Parti ini tidak akan lari dari agenda perjuangan yang berlandaskan agama, bangsa dan tanah air malah tidak boleh beralih walaupun seinci keluar dari landasan tersebut.

“Parti-parti yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan menghormati UMNO terutamanya apa yang diperjuangkan selama ini malah walaupun berbeza ideologi tapi tak bermakna kita tidak boleh bersama,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Seterusnya Aliff Firdaus menegaskan bahawa UMNO memiliki pendirian tegas dalam memperjuangkan kepentingan umat Islam dan orang Melayu, tidak akan membiarkan pihak lain mempengaruhi keputusan-keputusan penting yang menyentuh soal kesejahteraan mereka.

Tambah Aliff, apabila timbul isu-isu yang tidak selari dengan kehendak dan aspirasi orang Islam serta Melayu, terutamanya daripada rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, Pemuda UMNO akan terus menegur bagi memastikan ia kembali teguh.

“Hari ini rakyat sedar bahawa UMNO bukanlah sekadar sebuah parti yang boleh dicucuk hidung oleh rakan-rakan lain dalam kerajaan, tetapi apabila isu-isu yang dibawa oleh  dalam Kerajaan Perpaduan tidak selari dengan kemahuan orang Islam dan Melayu pasti UMNO akan terus menegur.

“Pemuda UMNO akan terus berjuang dan menentang segala usaha yang tidak menguntungkan bangsa serta agama. Kami tidak akan biarkan sebarang keputusan yang merugikan masa depan negara dan rakyat diteruskan begitu sahaja,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit