UMNO/BN Perkukuh Kerajaan Perpaduan Demi Membela Rakyat, Masa Depan Negara

KUALA LUMPUR, 20 Dis – UMNO dan Barisan Nasional (BN) memainkan peranan penting kepada kewujudan Kerajaan Perpaduan sehingga mencapai pelbagai kejayaan terutamanya dari segi kestabilan politik dan perkembangan ekonomi, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Jelasnya, pemimpin UMNO/BN memainkan peranan besar dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah bagi memastikan rintihan suara dan aspirasi rakyat benar-benar terbela.

“Sebenarnya pimpinan tertinggi UMNO/BN memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan dan mengembalikan kestabilan politik, ekonomi dan sebagainya malah apa yang dilakukan pimpinan parti telah menunjukkan prestasi yang terbaik.

“Bukan itu saja, menteri-menteri UMNO/BN dalam kabinet memainkan peranan untuk menyatu padu dan memastikan hubungan erat dapat diteruskan dalam kalangan kepimpinan terutamanya sekali Kerajaan Perpaduan.

“Keutamaan UMNO/BN bergabung dalam kerajaan adalah memastikan rakyat terbela. Apa yang mampu diberikan pada rakyat itu sangat penting untuk buktikan dan dicapai sebagai sebuah parti yang ada dalam gabungan ini,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Rosnah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar berharap hubungan baik yang terjalin kini dapat diteruskan serta memberikan khidmat terbaik untuk rakyat.

“Hubungan baik yang dijalinkan UMNO/BN dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan ini harap dapat terus dimantapkan lagi pada masa akan datang. Sama-sama bina kekuatan dari segi ikatan tersebut dan yang paling penting adalah memberikan perkhidmatan dan menyantuni rakyat.

“Berkerjasama sebagai satu pasukan amat penting dalam kerajaan dan secara tidak langsung dapat menambah pengalaman serta kejayaan dalam Kerajaan Perpaduan,” tegasnya.

Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan ditubuhkan kerana UMNO menghormati titah Yang di Pertua Agung (YDPA) kerana pada masa itu tidak ada mana-mana parti politik yang mempunyai majoriti untuk tubuhkan kerajaan.

Titah tersebut diterima oleh pelbagai parti teras seperti BN, PH, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit