Malaysia Berpendirian Teguh Beri Sokongan Berterusan Terhadap Perjuangan Rakyat Palestin

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Malaysia sentiasa teguh dengan pendirian dalam memberi sokongan berterusan terhadap perjuangan rakyat dan negara Palestin.

“Di Sidang Kemuncak D-8, saya sempat berjumpa dan menyatakan pendirian ini kepada Presiden Palestin, TYT Mahmoud Abbas. Beliau sendiri menyatakan penghargaan kepada setiap usaha dan bantuan diberikan oleh Malaysia dari dulu hingga kini.

“Kita doakan keamanan di Gaza dan paling penting semoga rakyat di sana mendapat perlindungan dan terus terbela nasib mereka,” kata Dr Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) menerusi satu hantaran di laman Facebooknya.

Dr Zambry kini berada di Kaherah, Mesir bagi menghadiri Sidang Kemuncak ke-11 Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Kumpulan Lapan Negara Membangun (Sidang Kemuncak ke-11 D-8).

Terdahulu dalam catatannya di laman sosial yang sama, Dr Zambry berkata Sidang Kemuncak ke 11 D-8 kali ini telah mencapai kata sepakat menyokong Deklarasi Kaherah yang membawa tema ‘Investing in Youth and Supporting SMEs: Shaping Tomorrow’s Economy’.

Katanya, ia diputuskan dalam Mesyuarat Ketua-ketua Negara di Sidang Kemuncak ke-11 D-8 itu.

“Dalam Kenyataan Negara yang disampaikan, saya telah menyatakan sokongan Malaysia kepada pembangunan belia terutamanya dalam sektor ekonomi dan keusahawanan.

“Kita berhadapan dengan belia zaman AI (kecerdasan buatan), berinovasi dan teknologi terkini, maka pendidikan yang seimbang mesti menyepadukan kecanggihan ini dengan nilai moral dan etika.

“Sifat ihsan dan berperikemanusiaan harus kekal sebagai teras sistem pendidikan kita, kerana masyarakat yang kehilangan nilai-nilai ini adalah masyarakat yang hanyut. Ini juga yang sering ditekankan oleh YAB Perdana Menteri,” katanya yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang kemuncak itu.

Begitu juga ulas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, perusahaan kecil dan sederhana (SME) adalah tulang belakang daya tahan ekonomi dan inovasi.

“Dalam rangka kerja D-8, pengukuhan SME dan memupuk kerjasama rentas sempadan dalam industri baru seperti ekonomi halal, perniagaan tani, teknologi hijau dan penyelesaian digital antara negara ahli D-8 boleh membuka peluang yang belum pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Manakala tambahnya dalam isu di Palestin dan Lebonan dan terkini di Syria, Malaysia percaya dengan Deklarasi Kaherah ini akan membentuk satu suara kolektif bagi menghentikan penderitaan yang tidak dapat dibayangkan, termasuk pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh rejim Zionis yang zalim dan menindas.

“Tindakan ini bukan sahaja melanggar hak asasi manusia tetapi juga menunjukkan secara terang-terangan mengabaikan undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan.

“Malaysia menegaskan komitmennya yang tidak berbelah bahagi kepada Kumpulan D-8 dan bersedia untuk bekerja secara kolaboratif dan strategik dengan semua Negara Anggota.

“Banyak yang boleh kita capai bersama jika dilakukan secara kolektif dan saling bekerjasama sesama negara D-8 terutamanya dalam meningkatkan ekonomi negara masing-masing,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit