‘Ketidakstabilan Politik Penggal Sebelum Ini Perlu Diambil Pengajaran’ – Johan
KUALA LUMPUR, 20 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Johan Abd Aziz menyifatkan ketidakstabilan kerajaan pada penggal sebelum ini perlu diambil sebagai pengajaran kerana ia merencatkan partumbuhan ekonomi negara sementelah pada masa sama berlakunya penularan COVID-19.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua berkata ini kerana kepentingan negara perlu dijadikan fokus utama dengan mengetepikan politik sempit yang menjejaskan rakyat.
“Kalau berlaku lagi macam yang sebelum-sebelum ini iaitu sepenggal sampai tiga Perdana Menteri jawapannya negara-negara mana pun akan gusar memastikan ekonomi, pelaburan dan sebagainya… akan menggugat kestabilan untuk memantapkan ekonomi.
“Jadi banyak faktor bukan sekadar ekonomi sahaja fokus kita, kalau asyik berpolitik sahaja tumpuan untuk membantu rakyat yang kita selalu laung-laungkan akhirnya akan terbantut,” katanya kepada UMNO Online berkaitan hal terbabit.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat dalam pada itu turut sama mengulas kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, katanya kebersamaan yang dicapai memberikan manifestasi kepada keutuhan kerajaan yang stabil demi memberikan manfaat pembangunan negara dan kebajikan rakyat.
Beliau berkata ia penting bagi memastikan agenda kemajuan negara dapat dilaksanakan dengan sebaiknya yang seterusnya membawa manfaat kepada generasi akan datang.
“Masuk tahun ketiga Barisan Nasional (BN) bersama dengan Kerajaan Perpaduan. Harapan saya sudah tentunya supaya hubungan yang dijalinkan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk masa yang datang.
“Kerana hubungan ini harus dijaga dengan baik supaya kestabilan kerajaan itu dapat dipertahankan kerana fokus pembangkang memang mesti mencari kelemahan, kekurangan… itu memang tugas dia.
“…tapi apa yang lebih penting, Kerajaan Perpaduan ini menjaga hubungan antara parti, antara satu sama lain itu itu lagi penting untuk kita memastikan kesinambungan untuk masa hadapan, untuk kita membela nasib rakyak ini dapat dipertahankan,” ujar beliau. – UMNO Online