Garis Panduan BN Kedah Mampu Menawan Hati Pengundi – Asmadi
MERBOK, 20 Dis – Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Datuk Asmadi Abu Talib menyatakan keyakinan terhadap hala tuju yang digariskan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk memastikan kemenangan parti dalam pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, menerusi Konvensyen BN Kedah yang diadakan baru-baru ini maka beliau percaya garis panduan yang ditetapkan oleh kedua-dua pemimpin ini akan memberi impak besar kepada parti.
“Saya yakin dan percaya bahawa garis panduan yang ditetapkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan juga Pengerusi BN Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberikan satu impak yang besar pada parti untuk memenangi pilihan raya.
“Hasrat dan garis panduan dalam resolusi BN Kedah mencerminkan strategi jitu untuk memenangi pilihan raya akan datang telah dibincangkan sebelum diserahkan kepada Pengerusi BN walaupun terdapat beberapa penal yang berkecuali,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini, baru-baru ini.
Beliau turut menengaskan bahawa setiap ahli UMNO dan komponen BN perlu menggembleng usaha secara bersama demi mencapai kemenangan yang dihasratkan.
“Pendekatan ini adalah tatacara yang perlu diikuti oleh semua ahli-ahli UMNO/BN mahupun mana-mana parti dalam komponen termasuk juga dengan Kerajaan Perpaduan untuk menjurus pada kemenangan pilihan raya akan datang.
“BN perlu melakukan gerak kerja bersama-sama dengan UMNO, MCA, MIC dan juga Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi pilihan raya akan datang sama ada pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan juga Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Asmadi turut mengulas mengenasi prestasi kerajaan negeri Kedah di bawah pentadbiran Pas.
“Rakyat Kedah telah membuat keputusan dalam pilihan raya lalu untuk menukar kerajaan, tetapi kini mereka dapat menilai sendiri pentadbiran Menteri Besar dan barisan kepimpinannya. Apa yang dilihat hanyalah retorik tanpa tindakan yang berkesan untuk kepentingan rakyat.
“Pentadbiran mereka lebih kepada ‘angan-angan Mat Jenin’, penuh dengan janji tetapi tiada pelaksanaan yang munasabah untuk kesejahteraan rakyat,” tegasnya. – UMNO Online